Bekas presiden kelab basikal bebas tuduhan pecah amanah

Mohammad Yusri (kiri) dipeluk ahli keluarga sebaik dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah.
Mohammad Yusri (kiri) dipeluk ahli keluarga sebaik dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang bekas presiden kelab berbasikal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu daripada tuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang bantuan pembangunan sukan berjumlah RM80,000 pada Mac 2017.

Hakim, Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohammad Yusri Ismail, 48, pada akhir kes pendakwaan.

Zaman dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh melibatkan isu pengesahan jawatan tertuduh.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh adalah presiden yang sah dalam kelab berkenaan.

“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada kedua-dua pertuduhan tanpa perlu dipanggil bela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, tertuduh didakwa sebagai presiden kelab tersebut melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta iaitu wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 bagi kegunaan sendiri.

Kesalahan didakwa dilakukan di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh pada 26 Mac 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut sekyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda.

Artikel Berkaitan:

Pada pertuduhan pindaan pilihan, dia didakwa menyalahgunakan wang bantuan Pelan Induk Pembangunan dan DCC Talent Development Program 2017 milik Kelab Berbasikal Darul Naim berjumlah RM80,000 untuk kegunaan sendiri di tempat dan masa sama.

Bagi tuduhan itu, Mohammad Yusri didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Mohammad Yusri (kiri) berbincang dengan peguam, Azura Ghazali (kanan) di luar bilik mahkamah.
Mohammad Yusri (kiri) berbincang dengan peguam, Azura Ghazali (kanan) di luar bilik mahkamah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.