Serang balai polis: Henti kaitkan dengan kumpulan ekstremis, JI

Ahmad (depan tengah) bersama penuntut selepas perasmian operasi Pusat Pendigitalan Kompetensi Kemahiran Pembinaan di ABM Wilayah Selatan, Tampoi, Johor Bahru pada Ahad.
Ahmad (depan tengah) bersama penuntut selepas perasmian operasi Pusat Pendigitalan Kompetensi Kemahiran Pembinaan di ABM Wilayah Selatan, Tampoi, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua pihak perlu berhenti menyebar spekulasi liar mengaitkan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini dengan kumpulan ekstremis termasuk Jemaah Islamiyah (JI).

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana spekulasi seperti itu akan menakutkan pelabur dan pelancong yang ada di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu meminta rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.

"Kejadian serangan yang berlaku amat memeranjatkan dan UMNO Johor beri kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa. Kami harap semua pihak tidak buat spekulasi dan tersilap dengan menyampaikan maklumat tidak benar.

"Ini penting kerana Johor merupakan negeri dengan hasil pelaburan dan juga pelancongan tinggi, jadi kita tidak mahu spekulasi seperti itu menjejaskan imej negeri ini di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pendigitalan Kompetensi Kemahiran Pembinaan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan di sini pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ABM Wilayah Selatan, Mohd Zaidi Rahmat dan Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Johor, Ahmad Farrin Mokhtar.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, PDRM tahu apa yang mereka lakukan berhubung siasatan terhadap insiden serangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Jika polis telah katakan suspek bertindak berseorangan dan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan JI, kita harus percaya," katanya.

Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi Jumaat, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala seorang lagi parah selepas ditetak dan tembak suspek.

Anggota polis yang cedera akibat ditembak itu kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!