JDT, Terengganu diramal ke final Piala FA

Saingan Piala FA 2024/25.
Saingan Piala FA 2024/25.
A
A
A

TEKA-teki undian Piala FA 2024/25 sudah terjawab dan para peminat bola sepak sudah mula mencongak peluang pasukan masing-masing untuk memburu trofi berprestij itu.

Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat berpeluang untuk mara ke final kejohanan itu sekali gus berupaya mempertahankan gelaran yang diraih pada musim lalu.

Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan melihat persiapan rapi yang dibuat oleh skuad Harimau Selatan apabila mengadakan pramusim di Sepanyol mampu memacu mereka untuk mengekalkan kejuaraan piala itu.

Razman Roslan
Razman Roslan

"Semua peminat maklum dengan kekuatan JDT yang berada dalam kelas tersendiri termasuk persediaan yang mereka lakukan di luar negara. Saya melihat satu slot final mampu menjadi milik JDT," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

JDT dilihat tiada masalah untuk melepasi halangan pertama apabila akan menentang pasukan yang dijenamakan semula, Kelantan Darul Naim (KDN FC) di Stadium Sultan Ismail (SSI) pada Pusingan 16.

Kedua-dua pasukan akan meneruskan saingan ke suku akhir dengan lawan yang menanti skuad Harimau Selatan adalah pemenang antara PDRM FC dan Malaysian University.

Razman memberitahu, dua lagi pasukan yang berpeluang untuk merebut satu lagi tiket final ialah antara Selangor FC (SFC) atau Terengganu FC (TFC) yang memiliki kekuatan seimbang dalam setiap posisi.

Artikel Berkaitan:

"SFC secara lazimnya menjadi antara wakil yang mampu mara ke separuh akhir setiap kali saingan Piala FA. TFC pula memiliki pasukan yang serba lengkap pada musim ini termasuk kembalinya Manuel Ott dan dua pemain pinjaman dari JDT, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid," katanya.

Dalam undian Piala FA yang dijalankan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada malam Khamis menyaksikan SFC akan membuat perhitungan dengan Negeri Sembilan FC.

Pemenang perlawanan itu akan berdepan pemenang antara finalis Piala FA 2023, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kuching City FC di Cheras.

TFC pula akan berdepan cabaran Perak FC yang akan beraksi di Kuala Terengganu dan pemenang bakal mengharungi saingan Sabah FC yang mendapat laluan mudah menentang KL Rovers di Stadium Likas.

Razman bagaimanapun menjelaskan, biarpun para peminat boleh mencongak peluang setiap pasukan, namun sebarang kejutan boleh berlaku dalam perebutan gelaran juara.

"Setiap pasukan akan all-out kerana perlawanan berlangsung secara kalah mati kecuali di peringkat suku dan separuh akhir. Jadi mereka membuat persiapan rapi untuk melakar kejutan, lebih-lebih lagi apabila berdepan pasukan besar," katanya.

Perlawanan lain melibatkan pertemuan Sri Pahang dengan Penang FC di Temerloh, manakala Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal berdepan cabaran Bukit Tambun FC di Alor Setar.

Kesemua aksi Pusingan 16 akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun, manakala perlawanan akhir dijadual pada Ogos dengan JDT adalah pemenang dua edisi sebelum ini dilihat berpeluang mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!