RISDAPreneur Biztalk lahir usahawan baharu RISDA

Manndzri (tiga dari kiri) melancarkan RISDAPreneur BizTalk 2024 di sebuah hotel di Shah Alam pada Khamis. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Manndzri (tiga dari kiri) melancarkan RISDAPreneur BizTalk 2024 di sebuah hotel di Shah Alam pada Khamis. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) diperuntukkan sejumlah RM50 juta melalui Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) bagi menambah baik taraf kehidupan komuniti pekebun kecil getah melalui aktiviti keusahawanan.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Pembangunan Usahawan merupakan dua teras utama pembangunan bagi memastikan pulangan pendapatan yang lebih baik selain bergantung kepada tanaman getah.

MANNDZRI
MANNDZRI

Menurutnya, pendekatan berkenaan selaras dengan objektif RISDA dalam memastikan pekebun kecil getah memperoleh pendapatan kolektif RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang akhir tahun 2025

“Dengan sasaran tahun ini sebanyak 7,000 penerima manfaat, RISDA ketika ini telah mencapai prestasi semasa pelaksanaan program pada kadar 59.1 peratus dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM14.8 juta yang memanfaatkan seramai 1,576 orang penerima bantuan.

“Perkembangan ini menunjukkan RISDA amat komited dalam memastikan pekebun kecil menghasilkan pendapatan sara diri dan menyumbang kepada pembangunan komuniti desa Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan RISDAPreneur BizTalk 2024 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah ZainaL.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai Program RISDAPreneur Biztalk (RPBT) tahun ini, Manndzri berkata, RISDA telah berjaya mengumpulkan seramai 116 usahawan yang menerima bantuan daripada Program Groom Big RISDA yang sudah bermula sejak tahun 2016 lagi.

“Usahawan-usahawan ini terdiri daripada kumpulan yang mencapai jualan tahunan sekurang-kurangnya RM700,000 dan ke atas,” katanya

“Menerusi program itu juga, empat Anugerah Top Achiever disediakan kepada usahawan yang paling berjaya melalui empat jenis bidang iaitu pengeluaran produk makanan, pengeluaran produk bukan makanan, perkhidmatan bukan pemasaran dan pertanian.

“RISDA akan terus memainkan peranan dalam memperkasakan 16,449 usahawan yang aktif di seluruh negara melalui bidang keusahawanan yang mampu menjadi elemen penting dalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” katanya

Manndzri (tengah) bersama Abdullah (kiri) meluangkan masa melawat pameran usahawan yang menyertai RISDAPreneur BizTalk 2024.
Manndzri (tengah) bersama Abdullah (kiri) meluangkan masa melawat pameran usahawan yang menyertai RISDAPreneur BizTalk 2024.

Tambah beliau, RISDA juga amat menyokong usaha pemasaran digital agar setiap usahawan bimbingan RISDA dapat bersaing secara lebih berkesan serta berdaya saing dengan usahawan sedia ada di pasaran.

“Media sosial dilihat menjadi platform yang mesra pengguna dan mesra kos serta dapat mencipta strategi kreatif yang mampu membeli hati dan jiwa pengguna dengan lebih berkesan.

Manndzri dalam pada itu turut menggalakkan warga pekebun kecil yang berminat dalam bidang perniagaan dan keusahawanan agar menghubungi atau berjumpa dengan pihak RISDA bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelbagai inisiatif dan bantuan ditawarkan.