KEB 2024 beri peluang RISDA perkasa sektor pekebun kecil getah

Manndzri Nasib melawat kiosk pameran produk RisSMart Butchery bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holding, Zainal Azni Zulkifli.
Manndzri Nasib melawat kiosk pameran produk RisSMart Butchery bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holding, Zainal Azni Zulkifli.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 baru-baru ini telah membuka peluang kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkasakan sektor pekebun kecil getah di bawah seliaannya.

Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, usaha itu dapat dilaksanakan menerusi penyediaan pelbagai variasi rantaian perniagaan yang boleh dimanfaatkan untuk sektor-sektor tersebut meliputi perladangan, perkilangan, logistik, permodalan sehingga kepada pendidikan.

“Terdapat 13 buah anak syarikat yang disatukan di bawah Kumpulan RISDA Holdings (KRH).

“Justeru, dengan kolaborasi syarikat-syarikat ini, ia mampu membangunkan sektor pekebun kecil getah dan seterusnya memberi manfaat kepada para pekebun kecil seperti mana digagaskan dalam KEB 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan RISDA bagi Bulan Mac 2024 di Auditorium Sultan Ahmad Shah (ASAS), di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal serta tetamu kehormat yang lain.

Manndzri Nasib melancarkan RisSMart Butchery yang kini mempunyai tiga buah outlet bersama Ketua Pengarah, Abdullah Zainal (dua dari kanan) dan pengurusan RISDA.
Manndzri Nasib melancarkan RisSMart Butchery yang kini mempunyai tiga buah outlet bersama Ketua Pengarah, Abdullah Zainal (dua dari kanan) dan pengurusan RISDA.

Merujuk kepada salah satu anak syarikat, RISDA Estates Sdn Bhd (RESB), entiti itu bertanggungjawab menguruskan ladang-ladang komersial milik RISDA selain terlibat dalam memproses hasil getah untuk industri hiliran.

Artikel Berkaitan:

“RESB turut menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat bidang agro-pengurusan, analisis makmal, pemetaan, ternakan integrasi, pemasaran dan sebagainya," katanya yang turut memaklumkan RESB turut terlibat dalam dua projek baharu iaitu Projek Loji Janakuasa Biogas RISDA di Kilang Sawit RISDA Ulu Keratong, Pahang dan Projek Perlombongan Bijih Besi Ladang RISDA Terengganu Tengah.

Selari dengan KEB 2024, Manndzri turut memberitahu, pengukuhan sektor pekebun kecil getah secara tidak langsung akan membuka peluang peningkatan pendapatan kepada golongan pekebun kecil yang sebahagian besarnya adalah bumiputera.

“Dengan adanya pembangunan sektor pekebun kecil, ia mampu menyediakan peluang pekerjaan di samping peningkatan pendapatan kepada golongan berkenaan.

“Sebagai sebuah agensi yang menerajui masyarakat pekebun kecil, RISDA sentiasa mengambil pelbagai pendekatan strategik dan holistik dalam menyediakan kemudahan serta bantuan kepada golongan ini.

“Justeru, kepelbagaian operasi syarikat-syarikat milik RISDA menyumbang kepada pembangunan sektor pekebun kecil getah meliputi penyediaan serta perkhidmatan pembekalan input pertanian, latihan teknikal dan bukan teknikal serta khidmat tanggungjawab sosial,” ujarnya.

Dalam pada itu, Manndzri berkata, RISDA akan terus memastikan kelestarian sektor pekebun kecil dalam mendepani cabaran dinamik semasa industri pengeluaran getah negara tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Dalam majlis perhimpunan itu, Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara itu melancarkan rangkaian kedai RiSMart yang menawarkan pelbagai produk berasaskan daging kepada para pengguna.