RISDA peruntuk RM73.5 juta laksana program perkasa wanita

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA)
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA)
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) memperuntukkan RM73.5 juta bagi memperkasa ekonomi wanita melalui bidang pendidikan, pemerkasaan ekonomi, dan pembangunan sosial yang relevan dengan industri semasa.

RISDA dalam satu kenyataan berkata, melalui inisiatif penubuhan Penggerak Wanita RISDA (PEWARIS), ia membantu menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan selain membentuk jaringan sokongan dalam kalangan masyarakat setempat dengan lebih efektif.

Menurutnya, seramai 194 orang PEWARIS telah dilantik melibatkan seorang ketua, 12 orang penyelaras di peringkat negeri dan 181 orang di seluruh negara.

“Program ini merupakan anjakan paradigma kepada warga luar bandar terutamanya komuniti pekebun kecil ke arah satu sistem perhubungan efektif yang membolehkan setiap isu dan permasalahan ditangani secara efisien.

“Kami bertanggungjawab dalam menerajui sektor pekebun kecil getah menjadi sebuah komuniti makmur dan lestari selaras dengan Aspirasi Desa Madani yang diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Solidariti dan kerjasama ini akan menjadi asas dalam mewujudkan komuniti penyayang dalam membentuk masyarakat desa yang akan membawa impak positif kepada keluarga dan negara,” katanya pada Ahad.

Dalam pada itu, RISDA turut memperuntukkan RM15 juta dalam menyediakan komponen Latihan dan Pembangunan Kemahiran (TVET) di bawah Program JELITA@RISDA.

Jelasnya, melalui komponen Pembiayaan dan Bantuan Usahawan di bawah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Keusahawanan, sebanyak RM50 juta telah disediakan dalam usaha meningkatkan pendapatan warga pekebun kecil.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, peruntukan sebanyak RM8.5 juta turut disediakan dalam komponen Pembangunan Komuniti dan Kesedaran Sosial di bawah Program Pembangunan Institusi Pekebun Kecil bagi meningkatkan kesedaran sosial serta pembangunan komuniti

“Program TVET ini bertujuan menyediakan golongan wanita dengan pengetahuan dan kemahiran sesuai dengan keadaan sosio ekonomi semasa.

“Program yang disediakan ini adalah inisiatif yang dirangka oleh pihak RISDA dalam mendepani cabaran dalam meningkatkan taraf hidup lebih 500,000 orang pekebun kecil getah di seluruh negara.

“Kerajaan melalui KKDW dan RISDA berharap agar Program PEWARIS ini juga menjadi cetusan kepada tindakan dinamik demi memastikan setiap program pembangunan RISDA dapat dijayakan mengikut sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28