Baling bom petrol di pusat hiburan, dua lagi didakwa subahat

Muhammad Hasan (kiri) dan Muhamad Nur Kholis (dua, kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi menghadapi satu pertuduhan bersubahat membaling bom petrol atau ‘molotov cocktails’ ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng minggu lalu.
Muhammad Hasan (kiri) dan Muhamad Nur Kholis (dua, kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi menghadapi satu pertuduhan bersubahat membaling bom petrol atau ‘molotov cocktails’ ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan bersubahat membaling bom petrol atau ‘molotov cocktails’ ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng minggu lalu.

Penghantar barang, Muhammad Hasan Abd Hamid, 29, dan pembantu penarik kereta, Muhamad Nur Kholis Muhamad Syaikhudin, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Hamidah Mohamed Deril.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersubahat bersama-sama suspek yang masih bebas, melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan pusat hiburan terbabit pada jam 2.17 pagi, 9 Mei lalu.

Rakaman CCTV memaparkan beberapa individu membaling objek dipercayai bom petrol ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada Khamis minggu lalu.
Rakaman CCTV memaparkan beberapa individu membaling objek dipercayai bom petrol ke arah sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada Khamis minggu lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 435 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh mencadangkan, setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 termasuk syarat tambahan, melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam, MV Yoges yang mewakili kedua-dua tertuduh itu, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana mereka perlu menanggung keluarga dan mempunyai masalah kesihatan.

“Muhammad Hasan baru sahaja mendapat kerja sebagai penghantar barang, mempunyai enam anak dan menanggung isteri pesakit asma termasuk ibu mentua yang menghidap penyakit tua.

Artikel Berkaitan:

“Muhamad Nur Kholis pula mempunyai penyakit gout, pernah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kaki dan bahunya patah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hamidah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 21 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada Khamis, dua pengawal keselamatan, M Preemraj dan Nor Rahman Sadik masing-masing berusia 25 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan melakukan khianat dengan membaling botol yang dinyalakan dengan api ke sebuah pusat hiburan, pada tarikh sama.

Pada 10 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan suasana gempar di hadapan sebuah pusat hiburan di lokasi berkenaan selepas sekumpulan individu bertindak membaling bom petrol.

Video kejadian pertama yang tular berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian memaparkan empat individu menaiki motosikal di hadapan pusat hiburan terbabit.

Individu terlibat kemudiannya dilihat membaling objek dipercayai bom petrol ke arah premis terbabit sebelum beredar.

Video kedua tular memaparkan beberapa individu bertindak membantu memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!