[VIDEO] Representasi Sanusi batal dua tuduhan menghasut ditolak

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Representasi yang dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk membatalkan dua tuduhan menghasut ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC), pada 3 Mei lalu.

Semasa prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud berkata, keputusan berkenaan telah dimaklumkan kepada pihak pembelaan yang mewakili Sanusi, 50, lebih awal.

“Sebelum ini mahkamah menetapkan Jumaat untuk sebutan kes bagi status representasi.

Sanusi yang berkemeja berwarna merah, hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat bagi prosiding sebutan kes hasutan yang dihadapinya.
Sanusi yang berkemeja berwarna merah, hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat bagi prosiding sebutan kes hasutan yang dihadapinya.

“Kami telah menerima dokumen tersebut dan AGC memberi jawapan bahawa representasi berkenaan ditolak, dua minggu lalu,” katanya yang kemudian disahkan oleh peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud, mewakili Sanusi, 50.

Susulan itu, mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan kes bermula 22, 23, 29 dan 30 Julai serta 5, 6, 9, 12, 13, 23 Ogos depan.

Dalam prosiding sama, Awang Armadajaya memohon agar pihak pendakwaan menyerahkan senarai saksi kepada pembelaan dengan segera, sementara pernyataan saksi sebulan sebelum perbicaraan bermula.

Menurutnya, pembelaan memerlukan dokumen berkenaan bukan sahaja untuk persediaan perbicaraan malah mahu mengelakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, dituduh menghina mahkamah kerana bertemu dengan saksi secara tidak sengaja.

Artikel Berkaitan:

“Beliau bukan seorang ketua kampung, tetapi menteri besar, yang mana sehari mungkin akan bertemu dengan ribuan rakyat.

“Kami tidak mahu beliau disalahkan kerana mengganggu saksi sedangkan senarai nama individu yang akan dipanggil ke mahkamah tidak diserahkan kepada kami.

“Mohon ia diserahkan kepada pembelaan dengan segera, saya anggap permohonan munasabah dan tidak keterlaluan,” katanya.

Bagaimanapun, Masri berkata, untuk makluman mahkamah, pendakwaan belum memuktamadkan senarai saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Beliau menegaskan, pendakwaan tetap dengan pendirian bahawa pernyataan saksi akan diserahkan 14 hari sebelum perbicaraan.

“Bukan menjadi amalan untuk kami menyerahkan dokumen terbabit lebih awal,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Datuk Aslam Zainuddin mengingatkan pihak pendakwaan supaya menasihati saksi-saksi yang akan dipanggil kelak agar tidak membicangkan mengenai kes dengan Sanusi.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!