[VIDEO] Sanusi dibenarkan pindah kes menghasut ke Mahkamah Tinggi

A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Perbicaraan dua kes menyebut perkataan menghasut membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Mahkamah Sesyen Selayang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu untuk memindahkan dan membicarakan kes berkenaan di mahkamah tersebut.

“Selepas meneliti hujahan bertulis, afidavit sokongan, notis usul dan hujahan lisan kedua-dua belah pihak iaitu pemohon dan responden, mahkamah ini membenarkan permohonan pemohon (Muhammad Sanusi) untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi,” kata hakim itu.

Muhammad Sanusi ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang pada Khamis.
Muhammad Sanusi ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang pada Khamis.

Semasa prosiding hujahan, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Sanusi, 50, memberitahu bahawa, kedudukan mahkamah rendah berbeza dengan mahkamah tinggi.

Ini kerana beliau berkata, Mahkamah Sesyen mempunyai kuasa yang terhad dalam bidang kuasa tersirat.

Sekiranya kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi, beliau berkata, ia akan mengatasi kekurangan tatacara, taksiran atau kes perundangan lain.

“Kami mohon kesamarataan diberi kepada anak guam selaku pemohon, untuk memindahkan kes sebagai mana kes-kes melibatkan ahli politik lain sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya kurang faham dengan hujahan pendakwaan yang menyatakan, permohonan untuk memindahkan kes ini akan menghalang mereka daripada menjalankan tugas, sedangkan hakikatnya, perkara itu tidak akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaan, Datuk Masri Mohd Daud berkata, hujahan pembelaan yang menyatakan mahkamah rendah tidak berupaya untuk membuat taksiran sebagai tidak wajar.

Menurutnya, alasan pemohon merupakan seorang Menteri besar juga tidak boleh menjadi ukuran kepada permohonan tersebut kerana semua individu mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang, tanpa mengira pangkat dan darjat.

“Saya tidak faham apabila isu membandingkan kekebalan mahkamah rendah dan tinggi ditimbulkan.

“Kita sepatutnya menaruh kepercayaan kepada kreadibiliti hakim yang dilantik untuk mendengar setiap kes di hadapannya,” kata Masri.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun sama.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Januari lalu, pemimpin Kedah ini mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.

Alasan permohonan dibuat ialah, perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.

Pembelaan berkata, perbicaraan di mahkamah tinggi akan memudahkan rujukan dalam isu undang-undang yang rumit, yang mana kehakiman itu mempunyai keupayaan untuk memutuskan perkara itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan berkenaan kerana kes itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks.

Selain tarikh perbicaraan telah ditetapkan lebih awal, mereka menghujahkan, hakim yang akan mendengar kes di mahkamah rendah, berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan jenayah itu.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Selayang, menetapkan prosiding perbicaraan ditetapkan pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22, 23 Februari serta 11, 15 dan 18 Mac depan.

@sinarharianonline

Sanusi dibenarkan pindah kes menghasut ke Mahkamah Tinggi #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Sanusi #Kes #Mahkamah #Hasut #MenteriBesar #MB #Kedah #ADUN #Jeneri #ShahAlam

Earned It (In the Style of Weeknd) [Karaoke Version] - Instrumental King