12 hari bicara kes hasut Sanusi dilapangkan

Sanusi mengangkat tangan selepas prosiding kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis.
Sanusi mengangkat tangan selepas prosiding kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SELAYANG – Mahkamah Sesyen di sini melapangkan 12 hari bagi tarikh perbicaraan yang ditetapkan bermula Isnin ini, berhubung dua kes menyebut perkataan menghasut membabitkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada Jumaat.

Hakim, Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memberitahu bahawa Hakim Datuk Aslam Zainuddin telah membenarkan permohonan Menteri Besar Kedah itu untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen di sini ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Susulan itu, Nor Rajiah berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan notis usul Sanusi, 50, selaku pemohon, maka permohonannya untuk penggantungan prosiding itu telah menjadi akedemik.

“Oleh itu, tiada keputusan akan diberikan bagi permohonan ini, maka tarikh bicara pada bulan Februari dan Mac dilapangkan,” katanya.

Tarikh berkenaan ialah pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22, 23 Februari serta 11, 15 dan 18 Mac depan.

Semasa prosiding, Abdul Malik Ayob berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan prosiding pada Jumaat untuk keputusan permohonan Sanusi bagi menggantungkan perbicaraan kes.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu menjadi akademik kerana hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, untuk memindahkan dan dibicarakan kes di Shah Alam.

Sementara itu, peguam, Mohd Tajuddin Abd Razak yang mewakili pemimpin Kedah itu mengesahkan perkara terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Saya mohon tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan dalam prosiding lalu, dikosongkan selain kami menunggu pengurusan kes baharu di Shah Alam,” katanya.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun sama.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Januari lalu pula, Sanusi memfailkan notis usul untuk menggantung perbicaraan dua kes menyebut perkataan menghasut yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini.

Pemimpin Kedah itu mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Alasan permohonan dibuat ialah perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.

Permohonan itu mendapat bantahan pihak pendakwaan selaku responden, dengan menghujahkan Sanusi sengaja melengah-lengahkan prosiding kes, namun dinafikan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat tersebut.

Justeru, hakim Mahkamah Sesyen menetapkan 2 Februari untuk keputusan pemohonan penggantungan terbabit.

Pembelaan berkata, perbicaraan di Mahkamah Tinggi akan memudahkan rujukan dalam isu undang-undang yang rumit, yang mana kehakiman itu mempunyai keupayaan untuk memutuskan perkara itu.

Pihak pendakwaan tidak bersetuju dengan permohonan berkenaan kerana kes itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks.

Selain tarikh perbicaraan telah ditetapkan lebih awal, mereka menghujahkan, hakim yang akan mendengar kes di mahkamah rendah berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan jenayah itu.

Pada Khamis, Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Sanusi selepas meneliti hujahan bertulis, afidavit sokongan, notis usul dan hujahan lisan kedua-dua pihak pemohon dan responden.