Dorongan semangat rakan sepasukan buat Faisal Halim

Selangor FC turun menentang Kedah tanpa kelibat Faisal (kanan) yang masih dalam proses pemulihan daripada kelecuran tahap empat akibat disimbah asid. Foto Agensi.
Selangor FC turun menentang Kedah tanpa kelibat Faisal (kanan) yang masih dalam proses pemulihan daripada kelecuran tahap empat akibat disimbah asid. Foto Agensi.
A
A
A

BEBERAPA pemain Selangor FC (SFC) sudah berkomunikasi dengan Faisal Halim untuk bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat agar proses pemulihan kelecuran tahap empat pemain itu berjalan dengan baik.

Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, mereka saling berhubung menerusi nota suara sejak beberapa hari lalu menjelang aksi pertama skuad Gergasi Merah menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Sabtu ini.

Beliau berkata, para pemain juga berada dalam semangat dan motivasi yang tinggi untuk meraih kemenangan pertama sekali gus menghadiahkan tiga mata buat Faisal yang dikenali sebagai Mickey dan peminat Selangor.

Malah tambah beliau, ahli keluarga Faisal juga akan turun ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan dan sebagai tanda solidariti buat pemain berusia 26 tahun itu.

"Alhamdulillah, Faisal sudah mula berhubung dengan kawan-kawan rapat dalam pasukan melalui nota suara.

"Kawan-kawan rapat beri semangat kepada Faisal. Seluruh keluarga Faisal juga akan turun ke stadium Sabtu ini. Ayah dan adik-beradik dia.

"Faisal jadi inspirasi buat pasukan dan sudah pasti objektif utama untuk buat persembahan terbaik dan pungut tiga mata pertama dalam Liga Super.

"Moral pemain juga semakin tinggi setelah berhubung dengan Faisal beri kata-kata semangat.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, Sabtu ini SFC akan beri yang terbaik bukan sahaja untuk peminat tapi buat Mickey," katanya ketika ditemui media selepas melawat Faisal di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan pemain kebangsaan itu mungkin dibenarkan pulang dalam tempoh dua minggu selepas keadaan kesihatannya bertambah baik, namun keputusan tersebut hanya boleh diputuskan oleh pakar di hospital.

Menyentuh mengenai solidariti minit ketujuh ketika aksi menentang skuad Sang Kenari itu, Shahril yang juga Pengerusi Jawatankusa Teknikal SFC berkata, ia mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat.

"Insya-ALLAH kalau tengok di media sosial kita sudah uar-uarkan.

"Diharapkan pada minit ketujuh para penonton dapat berdiri dan beri tepukan semangat buat Mickey.

"Malah saya difahamkan pengurusan kedua-dua pasukan (SFC dan KDA) sudah berbincang dan maklum dengan perkara ini," katanya.

SFC akan menganjurkan solidariti pada minit ketujuh sebagai tanda penghormatan dengan meminta semua penyokong untuk berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada Faisal.

Detik itu sebagai simbolik kepada jersi nombor tujuh yang dipakai Mickey.

Malah Faisal turut meledak satu gol ketika membantu skuad Gergasi Merah menewaskan KDA 3-2 dalam aksi Liga Super Mei tahun lalu di venue sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!