Tunai haji guna visa pelancong atau umrah? Ketahui hukum dan status ibadah itu
MESKIPUN impian menunaikan haji menjadi dambaan semua umat Islam, biarlah ia dilakukan dengan cara dan saluran yang betul.
Jangan pula dek kerana terlalu melayan perasaan, ada yang terfikir untuk memohon visa sebagai pelancong Arab Saudi dan duduk di sana sehingga musim haji bagi menunaikan ibadah berkenaan.
Menerusi artikel terbaharu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menghuraikan panjang lebar tentang isu berkenaan.
Sebelum mengupas dari sudut hukum-hakam, lebih molek andai kita tahu garis panduan untuk menunaikan ibadah ke tanah suci.
Dalam artikel itu, ada disebut bahawa kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat supaya mereka yang ingin menunaikan ibadah haji mesti mendapatkan visa khusus haji, manakala visa pelancongan dikhususkan untuk aktiviti berkenaan dan umrah sahaja.
“Ia tidak termasuk dalam aktiviti menunaikan haji, bekerja dan belajar.
“Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menegaskan, perbuatan menyalahgunakan visa pelancong dan visa umrah untuk mengerjakan ibadah haji dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga masuk musim haji merupakan satu kesalahan di bawah peraturan kerajaan Arab Saudi.
“Bahkan, keselamatan pemegang visa juga tidak diiktiraf untuk melaksanakan ibadah haji, selain boleh mencemarkan nama dan hubungan baik antara dua negara. Pengiktirafan permit haji hanya dikeluarkan oleh institusi bertauliah seperti Lembaga Tabung Haji,” katanya.
Ia sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Hukum Khas Haji dan Korban Siri ke-80: Hukum dan Status Haji dengan Menggunakan Visa Pelancong Arab Saudi dengan Cara ‘Overstay’ yang disiarkan laman web pejabat mufti berkenaan pada Rabu.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan, syarat istito’ah atau kemampuan dalam mengerjakan ibadah haji untuk sampai ke tanah haram menjadi faktor yang menentukan kewajipan seseorang untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
“Ia termasuklah perjalanan aman dan selamat. Bahkan, tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji sekiranya perjalanan tersebut terdapat ancaman terhadap diri dan harta.
“Kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, visa perjalanan haji dan pasport yang diiktiraf oleh kerajaan merupakan salah satu syarat istito’ah yang perlu dipenuhi sebelum ibadah dikerjakan,” katanya.
Melihat kepada fakta berkenaan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, mereka yang menggunakan visa umrah untuk mengerjakan ibadah haji adalah satu kesalahan sepertimana yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
“Mengertilah, arahan yang dikeluarkan itu untuk tujuan kebaikan dan menjaga kepentingan umat Islam. Ia wajib dipatuhi.
“Begitu juga dengan perbuatan menggunakan visa pelancong dengan cara tinggal lebih lama sehingga musim haji. Ia merupakan perbuatan yang haram dan berdosa kerana menipu serta melanggar undang-undang,” tegasnya.
Sekalipun perbuatan itu haram dilakukan, pejabat mufti tersebut menjelaskan, ibadah haji yang dilakukan menggunakan visa tersebut sah sekiranya segala syarat dan rukun haji disempurnakan dengan lengkap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!