Sunat laungkan azan berangkat pergi haji

KETAHUILAH bahawa sunat hukumnya berangkat memulakan perjalanan sama ada ke Makkah menunaikan haji atau bermusafir ke tempat lain. -Foto: Canva
KETAHUILAH bahawa sunat hukumnya berangkat memulakan perjalanan sama ada ke Makkah menunaikan haji atau bermusafir ke tempat lain. -Foto: Canva
A
A
A

SEJAK 9 Mei lalu, umat Islam di negara kita mula berangkat secara berperingkat ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji.

Menjadi amalan masyarakat kita untuk menziarahi dan menghantar ahli keluarga yang bakal menjadi tetamu ALLAH sama ada di tempat berkumpul disediakan pihak Tabung Haji mahupun lapangan terbang.

Ketika itulah adakalanya kita terlihat suasana segelintir orang melaungkan azan sebelum rombongan haji terbabit berangkat.

Ketahuilah bahawa sunat melaungkan azan apabila hendak berangkat memulakan perjalanan sama ada ke Makkah menunaikan haji atau bermusafir ke tempat lain.

Demikian fakta diterangkan pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

USTAZ AZHAR IDRUS
USTAZ AZHAR IDRUS

“Sekalipun azan tadi tidak dilakukan, ia tidaklah menjadi sebarang kesalahan,” coretnya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun terdapat perbezaan pandangan ulama dalam perkara itu, agamawan itu menjelaskan, ulama yang berpendapat sunat azan itu berpandukan kepada sepotong hadis diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib dan Aisyah RA.

Ali dan Aisyah berkata: “Adalah Rasulullah SAW apabila mahu berangkat pergi haji atau hendak musafir, dia azan dan iqamat.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Al-Baihaqi)

Dalam kitab I’anah at-Talibin, ada dinyatakan bahawa disunatkan azan dan iqamat di belakang orang yang hendak bermusafir kerana terdapat hadis sahih tentangnya.

Sementara itu, Abu Ya’la dalam musnadnya dan Ibnu Abi Syaibah mengatakan, musafir yang dimaksudkan itu adalah bukan untuk tujuan maksiat.

LAFAZ azan dan kalimah yang terkandung padanya banyak menginsafkan seseorang musafir serta boleh membantu dalam menentukan nawaitu dan niat ke arah yang lebih baik. -Foto; Canva
LAFAZ azan dan kalimah yang terkandung padanya banyak menginsafkan seseorang musafir serta boleh membantu dalam menentukan nawaitu dan niat ke arah yang lebih baik. -Foto; Canva

Fakta sama turut dinyatakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Al-Kafi #1351: Azan Kepada Orang yang akan Bermusafir, disiarkan dalam laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Benar, dibolehkan untuk kita melakukan azan ketika hendak memulakan musafir.

“Kadangkala lafaz azan dan kalimah yang terkandung padanya banyak menginsafkan seseorang musafir serta boleh membantu dalam menentukan nawaitu dan niat ke arah yang lebih baik.

“Justeru, marilah sama-sama kita melihat di sebalik lafaz azan yang memaknakan untuk membesarkan ALLAH SWT, ajakan solat dan kalimah tauhid. Semua itu boleh menambahkan kita kepada sifat Muslim sejati yang sentiasa melafazkan zikrullah dalam kehidupan termasuk ketika mahu bermusafir,” katanya.