Terengganu rekod 10 kes strok haba, kelesuan haba sepanjang April

10 kes strok haba dan kelesuan haba direkodkan berlaku di Terengganu sepanjang April lalu membabitkan kumpulan berisiko terutama buruh ladang dan pekerja binaan. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Dr Kasemani)
10 kes strok haba dan kelesuan haba direkodkan berlaku di Terengganu sepanjang April lalu membabitkan kumpulan berisiko terutama buruh ladang dan pekerja binaan. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Dr Kasemani)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 10 kes strok haba dan kelesuan haba direkodkan berlaku di Terengganu sepanjang April lalu membabitkan kumpulan berisiko terutama buruh ladang dan pekerja binaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesemua pesakit ini dikesan selepas datang untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan seluruh negeri itu.

Menurutnya, kebanyakan pesakit yang dihantar ke hospital mengaku terdedah terlalu lama dengan cuaca panas.

"Kes terakhir yang dilaporkan berlaku ialah pada 8 Mei lalu dan sehingga kini tiada kesan sampingan dialami oleh mana-mana pesakit.

"Semua pesakit juga telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah mendapatkan rawatan di hospital dalam tempoh satu hingga dua hari," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, mereka yang mengalami gejala seperti pening, loya dan muntah perlu segera mendapatkan rawatan bagi mengelak tahap kesihatan semakin merosot.

"Jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan, pesakit berisiko kehilangan air badan yang banyak dan menyebabkan kekejangan otot, kelesuan haba dan strok haba apabila suhu badan meningkat melebihi 40 darjah Celsius.

"Keadaan ini sangat bahaya terutama kepada warga emas, pesakit kronik dan kanak-kanak kerana strok haba boleh membawa kematian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai agar mengehadkan aktiviti di luar bangunan jika tiada sebarang keperluan mendesak.

"Orang ramai disarankan untuk menangguh atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, memanjat gunung, dan lain-lain aktiviti ketika gelombang haba sehinggalah keadaan kembali reda.

"Jika terpaksa keluar, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas.

"Minum air secukupnya dan minum air yang telah dimasak bagi memastikan cecair dalam tubuh adalah mencukupi serta elakkan minuman berkafein, air panas atau minuman beralkohol," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan Terengganu antara enam negeri yang dijangka mengalami cuaca panas dan kering dalam tempoh tiga bulan lagi.

Sepanjang tempoh itu, cuaca panas dijangka berlarutan dengan suhu harian antara 35 hingga 39 darjah Celsius di beberapa lokasi melibatkan enam negeri tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!