Terengganu rekod 10 kes kemalangan maut di tempat kerja

Noorazman (enam dari kanan) bergambar bersama peserta Program Seminar Pemantapan Pengurusan Perancah Negeri Terengganu Tahun 2024 di Dewan Auditorium Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin.
Noorazman (enam dari kanan) bergambar bersama peserta Program Seminar Pemantapan Pengurusan Perancah Negeri Terengganu Tahun 2024 di Dewan Auditorium Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin.
A
A
A

DUNGUN - Terengganu merekodkan sebanyak 10 kes kemalangan maut di tempat kerja melibatkan pelbagai sektor pekerjaan di negeri itu sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu, Noorazman Soud berkata, ia merupakan sebahagian daripada keseluruhan 256 kes berkaitan keselamatan pekerjaan yang direkodkan sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, selain kemalangan maut turut direkodkan ialah 10 kes hilang upaya kekal, 183 kes tidak hilang upaya kekal dan 18 kes melibatkan kejadian berbahaya serta sebanyak 35 kes aduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang diterima.

"Angka berkenaan sudah pasti membimbangkan dan semua pihak perlu bertindak bagi menjadikan tempat kerja selamat sihat dan seterusnya mengurangkan kadar kemalangan negara.

"Tindakan semua pihak perlu bagi meningkatkan usaha dan tenaga supaya jumlah kemalangan di tempat kerja dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan (zero accident) pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada Program Seminar Pemantapan Pengurusan Perancah Negeri Terengganu Tahun 2024 di Dewan Auditorium Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JKKP Terengganu telah memproses 274 permohonan melibatkan 4,149 lukisan reka bentuk perancah sepanjang tahun lalu.

"Sebanyak 28 peratus atau 76 permohonan yang melibatkan 1,049 lukisan atau 25 peratus telah di tolak atas pelbagai sebab.

"Antara sebab yang lazim ditemui adalah reka bentuk perancah tidak menepati garis panduan ditetapkan dan dokumen atau maklumat yang diberikan tak lengkap.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, JKKP Terengganu melalui Seksyen Kerja Bina juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas pepasangan perancah di tapak bina. Hasilnya kita menemui pelbagai kesalahan yang tidak menepati kod amalan kejuruteraan," ujarnya.

Beliau berkata, antara penemuan utama adalah pemasangan perancah di tapak yang tidak sama dengan reka bentuk yang diluluskan dan tiada pemeriksaan dijalankan oleh orang yang kompeten secara berkala.

"Keadaan itu boleh menyebabkan kemalangan berlaku di tempat kerja yang mana ia boleh menyebabkan kehilangan nyawa pekerja," ujar beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28