[VIDEO] Faisal Halim masih perlu pemantauan rapi - Adam Adli

A
A
A

PEMAIN sayap Harimau Malaya dan Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim masih memerlukan pemantauan rapi meskipun telah dipindahkan ke wad biasa daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam, susulan disimbah asid baru-baru ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, proses rawatan yang diberikan kepada Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim itu mengambil masa panjang dan beliau kini menunjukkan perkembangan positif.

"Saya ada ziarah keluarga beliau semalam... Alhamdulillah, semangat keluarga beliau baik dan dari segi proses rawatan sedang diberi kepada Faisal Halim, ia ambil masa yang panjang.

"Cuma setiap yang terbaik sudah diberikan dari sudut perubatan dan sokongan, bukan sahaja kepada Faisal, tetapi keluarga beliau... beri ruang kepada saudara Faisal untuk pulih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Hari Belia Negara @ Kementerian Belia dan Sukan (HBN@KBS) 2024 di sini pada Rabu.

Semalam, media melaporkan Faisal Halim telah dipindahkan ke wad biasa selepas kira-kira sembilan hari berada di ICU susulan disimbah asid baru-baru ini.

Adam Adli berkata, Faisal Halim kini dalam proses rawatan yang cukup sensitif dan semua pihak diminta untuk tidak menganggu emosi beliau.

Katanya, pihak keluarga sebelum ini ada memaklumkan bahawa Faisal Halim kini boleh berjalan dan makan sedikit, tetapi tumpuan ketika ini adalah pemulihan sepenuhnya.

"Dia keluar dari ICU. Belum tentu boleh keluar hospital dan masih memerlukan rawatan dan tumpuan rapi... bagi ruang kepada beliau untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya yang membataskan pergerakan dan percakapannya.

Laporan Sukan Sinar
Laporan Sukan Sinar

Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima hingga enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Mengenai Semarak HBN @ KBS 2024 hari ini, Adam Adli berkata program tersebut dianjurkan bersama dengan Konvensyen Belia Integriti Nasional khusus untuk mempertingkatkan nilai integriti di kalangan belia.

"Belia perlu ada integriti iaitu harga diri dan maruah yang kuat supaya kita dapat muncul sebagai bangsa yang tidak kalah dan tahan cabaran,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!