Zamzam dan ujian saintifik

A
A
A

DALAM artikel yang lepas, saya menulis tentang keajaiban air zamzam yang bertindak balas dengan doa dan dengan izin ALLAH, mampu menyembuhkan pelbagai penyakit.

Namun, ada yang mengatakan tiada satu pun ujian saintifik membenarkan kenyataan tersebut.

Ada juga yang mengatakan bahawa perkara tersebut kesan plasebo (placebo effect).

Malah, British Broadcasting Corporation (BBC) pernah melaporkan pada Mei 2011 bahawa kononnya air zamzam beracun kerana memiliki kadar arsenik tinggi iaitu tiga kali ganda daripada sepatutnya.

Susulan laporan itu, banyak pihak membuat kajian saintifik ke atas air zamzam.

Antaranya, kajian yang bertajuk Zamzam Water: Concentration of Trace Elements and Other Characteristics yang diterbitkan pada Februari 2012 oleh jurnal Chemosphere dalam pangkalan data Science Direct.

Dalam kajian itu, 30 sampel air zamzam diambil menggunakan tiga metodologi berbeza iaitu 10 sampel daripada jemaah haji yang tinggal di beberapa lokasi berbeza di Jerman pada tahun 2007 (mereka tidak mengenali antara satu sama lain), 10 sampel daripada beberapa kedai di Frankfurt dan Berlin pada tahun 2011 dan 10 sampel yang diambil terus dari Makkah pada tahun 2011.

Sampel-sampel tersebut dikaji dalam makmal menggunakan 30 jenis indikator.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Keajaiban air zamzam

Kesimpulan daripada kajian itu, apabila dibandingkan dengan air zamzam yang baru diambil dari Makkah, kualiti air zamzam tidak berubah walaupun selepas dua tahun disimpan pada suhu bilik.

Purata pH adalah lapan yang menunjukkan air itu beralkali. Ia kerana kewujudan batu granit yang banyak di sekitar Makkah.

Walau bagaimanapun, hasil kajian itu menunjukkan kadar arsenik yang tinggi iaitu dua hingga tiga kali ganda daripada standard (Organisasi Kesihatan Dunia) WHO.

Arsenik boleh ditemui secara semula jadi dalam batu-batuan dan tanah.

Arsenik boleh menyebabkan kanser dan sesetengah arsenik juga boleh digunakan sebagai ubat.

Menurut hasil kajian tersebut, gabungan air zamzam beralkali dengan mineral semula jadi seperti arsenik dengan litium, kalsium dan potasium ialah salah satu elemen dalam penyembuhan sakit dan penyakit.

Kini, banyak kajian saintifik dijalankan antaranya yang bertajuk In Vitro Cytotoxic and Anticancer Effects of Zamzam Water in Human Lung Cancer (A594) Cell Line yang diterbitkan pada tahun 2018 dalam The Malaysian Journal of Medical Sciences.

Dapatan kajian menunjukkan air zamzam mengurangkan jumlah sel kanser paru-paru; kombinasi unik mineral dalam air zamzam termasuk arsenik dan kadmium menyebabkan kematian sel kanser.

Kajian saintifik lain Antiproliferative and Apoptotic Effects of the Natural Alkaline Water (Zamzam) in Breast Cancer Cell Line MCF-7 yang diterbitkan pada tahun 2019 dalam Journal of Cancer Research and Therapeutics.

Hasil kajian itu menunjukkan air zamzam mampu merencatkan pertumbuhan sel kanser payudara.

Semua kajian saintifik di atas membuktikan air zamzam sememangnya ajaib dan anugerah ALLAH SWT buat umat manusia.

Kerajaan Arab Saudi pula mengharamkan eksport atau penjualan air zamzam secara komersial.

Walau bagaimanapun, dek kerana permintaan yang tinggi, ia tetap dijual di beberapa negara secara tidak sah.

Oleh kerana ia bukan penjualan secara sah, mungkin air zamzam yang dijual tidak tulen. Maka, berhati-hatilah sekiranya anda bercadang membeli air zamzam di kedai tempatan.

*Johari Yap ialah Naib Presiden Macma dan Pengerusi Macma Kelantan