Tahun 2020 peluang hebat hubungan China-Malaysia

Bai Tian
Bai Tian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan diplomatik China-Malaysia pada tahun ini telah mencecah usia 46 tahun dan menyaksikan perkembangan yang baik, kata Duta China ke Malaysia, Bai Tian.

Beliau berkata, tahun 2020 adalah 'Tahun Kebudayaan dan Pelancongan China-Malaysia' selain menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat APEC yang akan dihadiri China.

"Ini bermakna ia akan menjadi tahun yang menawarkan peluang hebat dalam hubungan China-Malaysia. Pada masa akan datang, Kedutaan China serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia akan menjadi penganjur bersama dua acara besar iaitu Karnival Selamat Tahun Baharu China Malaysia 2020 dan majlis pelancaran Tahun Kebudayaan dan Pelancongan China-Malaysia," katanya semasa resepsi sambutan Tahun Baru China anjuran Kedutaan China di sini pada Jumaat malam.

Bai Tian berkata, kedua-dua acara akan memulakan Tahun Kebudayaan dan Pelancongan China-Malaysia serta kerjasama dua hala mereka.

"Saya harap hubungan China-Malaysia mampu berjalan lancar dengan hala tuju positif ini dan mencapai tahap baharu yang lebih tinggi dalam sektor perdagangan, pelaburan, pertukaran budaya dan pelancongan.

"Saya harap ia akan membuka lembaran baharu dalam jalinan persahabatan antara kedua-dua negara dan rakyatnya. Saya berharap hubungan China-Malaysia akan menjadi lebih mesra pada tahun baharu ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Utusan Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai.

Mengulas pencapaian pada 2019, Bai Tian berkata durian dan sarang burung Malaysia telah menerima lampu hijau untuk dieksport ke China manakala projek ECRL dan Bandar Malaysia diteruskan serta dilancarkan semula.

Artikel Berkaitan:

Pada akhir November 2019, pelaburan bersama telah mencecah US$20.4 bilion dan pelaburan China di Malaysia menyumbang sebanyak AS$12.6 bilion. Pelancong China yang berkunjung ke Malaysia pada 2019 melebihi tiga juta orang.

"Saya berharap di bawah kepimpinan kerajaan kita, rakyat China dan Malaysia mampu membina sendiri masa depan yang lebih baik demi kesejahteraan kedua-dua negara serta rakyatnya," katanya.

Semasa acara itu, kira-kira 800 tetamu termasuk rakyat China yang tinggal di Malaysia, ahli perniagaan dan wakil dari pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di China telah disajikan dengan pelbagai juadah dan persembahan dari China. - Bernama