Ambil alih IWK masih dalam peringkat cadangan

Suhaimi - Foto Sharifudin Abdul Rahim Gambar kecil: Laporan Sinar Harian berhubung cadangan Menteri Besar Selangor untuk mengambil alih IWK.
Suhaimi - Foto Sharifudin Abdul Rahim Gambar kecil: Laporan Sinar Harian berhubung cadangan Menteri Besar Selangor untuk mengambil alih IWK.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Pengambilalihan Indah Water Konsortium (IWK) Selangor masih di peringkat cadangan dan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk pelaksanaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman berkata, beliau melihat cadangan kerajaan negeri itu sesuatu yang kompleks, namun tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Menurutnya, penggabungan itu perlu dilihat dari sudut positif bertujuan memberikan perkhidmatan air menyeluruh kepada pengguna.

"Saya tak boleh komen lanjut mengenainya kerana masih di peringkat awal, namun kebaikan penggabungan antara Air Selangor dan IWK jelas melengkapkan proses kitaran air apabila perkhidmatan dua agensi disatukan.

"Bagaimanapun ia perlu melibatkan perbincangan antara kerajaan negeri, Air Selangor, IWK dan Persekutuan untuk mengenal pasti mekanisme kaedah pelaksanaan," katanya mengulas cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkaitan pengambilalihan IWK oleh Air Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Air Selangor mahu urus sendiri IWK: MB

Beliau ditemui selepas program Karnival Jom e-Bil bertempat di E Curve Mutiara Damansara di sini hari ini.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenai perkara itu dan dalam proses persediaan kertas cadangan untuk penilaian.

Artikel Berkaitan:

"Dalam pelan kami, Air Selangor akan hantar permohonan kertas kerja itu kepada kerajaan Persekutuan dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

"Ia perlu melalui fasa menyediakan kertas kerja sebelum dibentangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan jika dapat sokongan barulah perkara ini akan dibawa kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli," katanya.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan Air Selangor bercadang menguruskan sendiri IWK Selangor bagi penyelarasan prosedur operasi standard dua agensi itu sebagai usaha mengatasi masalah gangguan bekalan air disebabkan isu pencemaran bau.