[VIDEO] Tipu maklumat pasport, Ofu Bhai dan orang kanan ditahan

A
A
A

PUTRAJAYA - Dua tahun menipu maklumat pada pasport, sindiket didalangi warga asing akhirnya diberkas dalam satu serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah premis di Kajang, Selangor pada Jumaat.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, seorang lelaki Bangladesh berusia 38 tahun ditahan bersama seorang wanita Filipina, 40-an, yang dipercayai 'orang kanan' melakukan penipuan pada helaian muka depan biodata pasport.

Beliau berkata, lelaki tersebut dikenali sebagai 'Ofu Bhai' menawarkan perkhidmatan meminda maklumat iaitu tempoh masa pada helaian pasport yang telah tamat tempoh.

Ruslin (dua dari kanan) menunjukkan pengubahan maklumat pada muka depan biodata pasport yang dilakukan sindiket warga Bangladesh dikenali sebagai Ofu Bhai. Foto HISYAMUDDIN AYUB.
Ruslin (dua dari kanan) menunjukkan pengubahan maklumat pada muka depan biodata pasport yang dilakukan sindiket warga Bangladesh dikenali sebagai Ofu Bhai. Foto HISYAMUDDIN AYUB.

"Berdasarkan aduan dan risikan dilakukan selama tiga minggu, satu serbuan khas dilakukan bagi menangkap suspek dan orang kanannya.

"Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini, manakala wanita Filipina telah tinggal lebih masa.

"Sindiket ini menawarkan perkhidmatan kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan dan meminda maklumat biodata pasport tulen yang telah tamat tempoh," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, bagi proses mengubah maklumat pada pasport, pihak sindiket mengenakan caj antara RM1,000 hingga RM1,500.

Artikel Berkaitan:

Selain itu kata beliau, sindiket juga menggunakan maklumat palsu yang ada pada pasport bagi mendapatkan kelulusan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dengan harga RM600 hingga RM1,000 untuk setiap dokumen.

Dalam serbuan itu, menurut beliau, pihaknya merampas satu set komputer dan sejumlah 211 pasport.

Katanya, sebanyak 199 pasport milik warga Bangladesh, manakala pasport India (4), Filipina (3), Myanmar (3) serta Indonesia (2).

Selain itu beliau berkata, pihaknya turut merampas 31 helaian muka depan biodata pasport, dokumen Fomema sebanyak 144 keping, pelbagai alatan membuat dokumen palsu serta wang tunai sebanyak RM16,000.

"Kedua-dua suspek utama ini ditahan reman selama 14 hari di depoh tahanan sementara Putrajaya bagi siasatan lanjut.

"Kita percaya dapatan lebih besar akan diperoleh menerusi siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek utama ini," ujar beliau.

Sementara itu ditanya mengenai pelaksanaan sistem imbasan kod QR di pintu masuk negara ke Singapura, Ruslin berkata, perkara itu masih di peringkat kajian dan ujian penggunaannya sedang dijalankan.

Jelas beliau, pelaksanaan sistem itu bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara, namun aspek keselamatan masih diutamakan dan tiada kompromi.

"Ia masih belum dilaksanakan dan pengumuman rasmi berhubung sistem ini akan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!