PRK KKB: Polis terima 12 laporan, lima kertas siasatan dibuka

Hussein. Foto Bernama
Hussein. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 12 laporan polis atas pelbagai kesalahan diterima dengan lima kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang berakhir hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada kempen yang bermula 27 April lepas itu, dua tangkapan dilakukan berdasarkan laporan serta tujuh daripada keseluruhan laporan itu hanya melibatkan tindakan pencegahan oleh polis.

"Dua lelaki warga tempatan yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4 (A) Akta Pilihan Raya 1954 serta sudah dituduh di mahkamah, manakala untuk empat lagi kertas siasatan yang dibuka, tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pada PRK yang berakhir dengan jumlah pengundi seramai 39,362 orang itu, sebanyak 1,133 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Selangor ditugaskan bagi mengawal keadaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 194 permit kempen dan 81 permit ceramah telah diluluskan kepada parti dan individu yang bertanding pada PRK berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, PRK pada kali ini berjalan dengan jayanya tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

"Polis kontinjen Selangor turut ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua calon yang bertanding serta barisan penyokong yang telah mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), yang diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!