PRK KKB: Polis terima 12 laporan pelbagai kesalahan

Razarudin ketika sidang akhbar di IPD Hulu Selangor pada Sabtu.
Razarudin ketika sidang akhbar di IPD Hulu Selangor pada Sabtu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Sebanyak 12 laporan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dua daripadanya telah dibuat tangkapan dengan satu kes sudah dijatuhkan hukuman.

"Jadi lain-lain isu kita tidak nampak di sini (Kuala Kubu Baharu), pengundi dan parti politik menyampaikan ceramah tidak ada yang sensitif.

"Keadaan memang sangat aman, tenteram dan dari segi keselamatan, ini bukan kali pertama PRK, PRU (pilihan raya umum) atau PRN (pilihan raya negeri).

"Kebanyakan pegawai dan anggota memang berpengalaman untuk mengurus atau menyusun atur menentukan keselamatan, ketenteraman terutamanya pengundi serta petugas PRK," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada sebuah kenderaan dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu, minggu lalu.

Majistret Siti Fatimah Talib menjatuhkan hukuman denda itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, P Ramasamy, 66, dengan mensabitkannya dengan pertuduhan selepas meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Sementara itu, Razarudin memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan lebih 190 permit berkempen sepanjang tempoh PRK dan tiada sebarang pelanggaran dikenal pasti terutama melibatkan isu 3R (kaum, agama dan raja).

Artikel Berkaitan:

"Tiada isu 3R, kebanyakannya isu pembangunan. Itu yang sepatutnya dibincangkan," ujarnya.

Terdahulu, beliau diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan tiba di IPD Hulu Selangor, sebelum dijadual meninjau beberapa pusat mengundi berhampiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!