MTHQK 2024 disertai ramai anak muda

Wan Rosdy (tiga dari kiri) dan Mohd Na'im (tiga dari kanan) bersama-sama merasmikan MTHQK 2024 di sebuah hotel di Tanjung Lumpur pada Sabtu.
Wan Rosdy (tiga dari kiri) dan Mohd Na'im (tiga dari kanan) bersama-sama merasmikan MTHQK 2024 di sebuah hotel di Tanjung Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Golongan muda antara paling ramai menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445H/2024M yang berlangsung selama enam hari bermula 23 hingga 28 Mei ini di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kebiasaan majlis sebegini disertai golongan berusia, namun kali ini, peserta daripada individu berusia 14 sehingga 25 tahun.

"Alhamdulillah untuk tahun ini di negeri Pahang, lebih ramai dalam kalangan orang muda yang menyertai sama ada tilawah mahu pun hafazan.

"Jadi, hasrat kita hendak membudayakan dan memastikan al-Quran ini (dapat) dihayati dan dicintai oleh golongan muda sudah tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas majlis perasmian MTHQK 2024 di sebuah hotel di Tanjung Lumpur di sini, pada Sabtu.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

MTHQK 2024 melihatkan penyertaan seramai 110 peserta dari seluruh negeri.

Setiap negeri diwakili lapan peserta iaitu dua peserta kategori tilawah al-Quran manakala enam peserta hafazan al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Bagi kategori tilawah, jumlah peserta adalah seramai 29 orang iaitu 14 qari dan 14 qariah serta seorang Johan Menunggu Qariah.

Hafazan pula bakal menyaksikan seramai 81 orang peserta, dengan para huffaz lelaki dan wanita akan bertanding dalam tiga kategori.

Mohd Na'im berkata, penganjuran MTHQK oleh kerajaan Persekutuan dan negeri setiap tahun adalah satu manifestasi komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkasakan syiar Islam di negara ini.

Jelasnya, penganjuran secara secara kolektif antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini dapat menerapkan budaya minat membaca terhadap al-Quran, memahami intipatinya dan mengaplikasi tuntutan serta menjauhi larangan ALLAH.

"Kerjasama ini adalah manifestasi usaha memartabatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pada masa yang sama, agenda pembangunan ummah dan pembinaan generasi Al-Falah yang selari dengan aspirasi Malaysia Madani sebagaimana digagaskan oleh Perdana Menteri dapat terus diperkasakan," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang memperuntukkan keseluruhan kos bernilai RM2.734 juta bagi menjayakan majlis tersebut.

Katanya, peruntukan tersebut termasuk ‘duit poket’ RM1,000 kepada setiap peserta dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM110,000.

"Kita bermurah hati menghulurkan duit poket berkenaan bagi membantu perbelanjaan peserta sepanjang pertandingan berlangsung. Apabila peserta yang datang ke Pahang mereka ada duit poket, duit makan dan sebagainya sebagai tambahan perbelanjaan mereka ketika berada di sini.

“Paling pentingnya ia adalah sebagai tanda ingatan tulus ikhlas kerajaan negeri untuk kesemua peserta,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!