Cuaca panas terik: Pergerakan pekerja terhad, minum banyak air

Mohamad Khairil Ihsan (kiri) melihat pekerja, Mohamed Nuqman Mohamed Zikrillah, 25, menyiram pokok dalam cuaca panas terik. Gambar kecil: Khairul Nizam
Mohamad Khairil Ihsan (kiri) melihat pekerja, Mohamed Nuqman Mohamed Zikrillah, 25, menyiram pokok dalam cuaca panas terik. Gambar kecil: Khairul Nizam
A
A
A

KOTA BHARU - Golongan pekerja yang terpaksa bekerja di bawah cuaca panas di sekitar bandar ini mengambil pendekatan dengan minum lebih banyak air masak dan berehat.

Langkah itu diambil berikutan kemarau yang boleh menjejaskan kesihatan sehingga mengakibatkan strok haba jika terlalu lama terdedah di bawah cuaca panas terik.

Tinjauan Sinar Harian di bandar ini mendapati ada pekerja yang tidak dapat meneruskan kerja lebih lama kerana bahang panas dan memerlukan lebih banyak air.

Pekerja nurseri di Jalan Pasir Hor, Mohamad Khairil Ihsan Mohd Zain, 31, memulakan kerja pada jam 9.30 pagi tetapi ketika itu matahari mula terik.

Menurutnya, antara kerja-kerja yang perlu dilakukan setiap hari ialah menyiram bunga, mencabut rumput, menyusun dan membaja pokok bunga.

"Kami akan menggunakan topi yang boleh melindungi kepala dan wajah selain memakai baju sesuai dengan keadaan cuaca," katanya ketika ditemui di nurseri itu.

Mohamad Khairil Ihsan yang bekerja di nurseri milik ibunya itu tidak menggalakkan dua pekerja lain berada di bawah cuaca terik bagi mengelakkan strok haba.

Jelasnya, buat masa ini kerja-kerja banyak dilakukan di bawah kawasan yang diteduhi kanvas.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga minum banyak air dan tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas selain memanfaatkan waktu rehat pada jam 1 tengah hari dengan baik," katanya.

Nur Amalina Fathin (kanan) melayan pelanggan yang datang membeli roti bakar.
Nur Amalina Fathin (kanan) melayan pelanggan yang datang membeli roti bakar.

Media sebelum ini melaporkan 61 individu maut di Thailand akibat gelombang haba luar biasa dengan suhu yang dirasai melebihi 52 darjah Celsius.

Agensi berita Jerman (dpa) yang memetik laporan Kementerian Kesihatan di Bangkok pada Jumaat melaporkan angka berkenaan lebih dua kali ganda daripada jumlah kes strok haba yang direkodkan sepanjang tahun lalu dan kebanyakan kematian membabitkan sektor pertanian.

Sementara itu, penghantar makanan, Khairul Nizam Shaari, 40, berkata, pergerakannya kini lebih terhad dan banyak berhenti rehat kerana cepat penat.

Katanya lagi, sebelum musim kemarau banyak trip penghantaran dapat dilakukan tetapi cuaca panas membataskannya untuk bergerak lebih jauh.

"Saya lebih mementingkan kesihatan dan akan kerap berhenti melepaskan lelah serta minum banyak air bagi mengelakkan pitam atau demam," katanya ketika ditemui di sebuah restoran di Kubang Kerian.

Khairul Nizam turut memberitahu, banyak perubahan yang berlaku sepanjang musim kemarau termasuk kekurangan tempahan makanan daripada pelanggan.

"Kebanyakan mereka menempah air pada waktu siang dan malam pula tumpuan kepada makanan.

"Ramai rakan-rakan saya yang memulakan penghantaran jam 8 pagi hingga 11 pagi dan berhenti pada tengah hari sebelum menyambung tugas jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Khairul Nizam yang bekerja sebagai penghantar makanan sepenuh masa turut menasihatkan rakan-rakannya supaya tidak terlalu mengejar trip dalam keadaan panas terik dan perlu lebih banyak minum air.

Penjual roti di tepi jalan di Bandar Baru Kubang Kerian, Nur Amalina Fathin Azhar, 32, pula memberitahu sentiasa peka dengan suhu melalui laman web jabatan tertentu.

Katanya, panas yang membahang juga memerlukan dia lebih banyak minum air kosong dan memastikan suasana gerai lebih teduh dan selesa.

"Alhamdulillah setakat ini saya dapat menjaga kesihatan dengan baik dan tetap meneruskan perniagaan dari jam 6.30 pagi hingga jam 1 tengah hari," katanya.

Ketika ditanya ada pihak tertentu mengedarkan maklumat berkaitan bahaya cuaca panas, Nur Amalina Fathin memberitahu, setakat ini belum ada yang berbuat demikian tetapi dia banyak membaca melalui media sosial.

Bagaimanapun jelasnya, jualannya berkurangan dalam tempoh kemarau kerana mungkin ramai yang lebih tertumpu kepada minuman sejuk.

Jabatan Meteorologi meramalkan suhu sepanjang minggu di negeri ini ialah 35 darjah celsius dan pada masa sama berlaku ribut petir di kawasan pedalaman.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!