Gelombang haba ragut 61 nyawa di Thailand

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK- Gelombang haba luar biasa dengan suhu yang dirasai melebihi 52 darjah Celsius setakat ini telah meragut 61 nyawa di Thailand, menurut laporan agensi berita Jerman (dpa) yang memetik laporan Kementerian Kesihatan di Bangkok pada Jumaat.

Angka ini lebih dua kali ganda daripada jumlah kes strok haba yang direkodkan sepanjang tahun 2023.

Kebanyakan kematian berlaku di bahagian timur laut yang pertanian merupakan sektor penting ekonomi.

Gelombang haba yang melanda dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan suhu waktu malam kekal sekitar 30 darjah Celsius di Bangkok dan banyak kawasan lain di negara ini.

Suhu tengah hari yang dirasai - ukuran yang turut mengambil kira kelembapan dan kelajuan angin selain suhu udara - sering melebihi 50 darjah Celsius.

Pihak berkuasa telah menggesa orang ramai untuk mengehadkan masa di luar rumah.

Hujan berlaku di kebanyakan kawasan di negara ini pada awal minggu ini buat kali pertama dalam beberapa bulan. Suhu pada mulanya turun tetapi sejak itu meningkat semula melebihi 30 darjah Celsius.

Pakar cuaca mengaitkan suhu tinggi ini dengan fenomena El Niño, tetapi menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Asia juga mengalami pemanasan lebih cepat berbanding purata global.

Artikel Berkaitan:

Bangladesh, Vietnam, Myanmar dan Filipina juga mengalami suhu yang luar biasa tinggi. - Bernama/dpa

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!