Tergamak curi barang kemas rakan, beri alasan alami masalah wang

Perbuatan seorang wanita mencuri barang kemas milik rakannya dengan alasan mengalami masalah kewangan mengundang padah apabila diberkas pada Khamis.Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Azam
Perbuatan seorang wanita mencuri barang kemas milik rakannya dengan alasan mengalami masalah kewangan mengundang padah apabila diberkas pada Khamis.Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Azam
A
A
A

AMPANG - Seorang wanita tergamak mencuri barang kemas milik rakannya dengan alasan mengalami masalah kewangan sebelum diberkas pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan dibuat mangsa pada 28 April lalu.

"Dalam kejadian pada jam 6.20 petang, mangsa yang mengemas biliknya di sebuah unit Apartment Dahlia, Pandan Indah mendapati barang kemas miliknya yang diletakkan di dalam kabinet telah hilang.

"Mangsa kemudiannya menceritakan perkara itu kepada dua lagi rakan serumah yang lain sebelum cuba mencari barang kemas berkenaan namun gagal menjumpainya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan dijalankan berjaya menahan suspek di sebuah rumah di sekitar kawasan Ampang pada Khamis.

"Suspek yang merupakan wanita tempatan diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pada jam 9.40 malam.

"Turut dirampas sekeping surat pajak yang dijumpai di rumah suspek di Damansara, Petaling Jaya dan dipercayai suspek telah memajak emas dicuri," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek merupakan kenalan lama kepada mangsa dan suspek mendakwa mengalami masalah kewangan sebelum bertindak sedemikian.

Artikel Berkaitan:

"Suspek sebelum ini diajak mangsa untuk datang ke rumah dua hari sebelum barangan kemas berkenaan disedari hilang.

"Siasatan mendapati suspek memajak cincin emas berkenaan di kedai pajak Pandan Indah sebelum cincin berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Azam berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain dalam kes itu.

"Suspek direman empat hari bagi siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!