Caj cukai tanah ikut keputusan Majlis Tanah Negara

Sallehudin. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian semalam.
Sallehudin. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Kenaikan caj cukai tanah di Pahang dibuat berdasarkan undang-undang dan selari dengan keputusan Majlis Tanah Negara di mana setiap negeri perlu membuat penilaian cukai dalam tempoh 10 tahun sekali.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehudin Ishak berkata, kerajaan negeri menaikkan caj cukai tanah di negeri itu selari dengan Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Seksyen 101 Kanun Tanah Negara.

"Bagi setiap negeri pilihan boleh dibuat sama ada hendak kekalkan cukai, naikkan atau turunkan. Bagi negeri Pahang, sebenarnya sejak 30 tahun lalu kita tidak pernah membuat kenaikan caj cukai tanah kecuali pada 2007 ada membuat sedikit perubahan caj.

"Jadi kalau ada orang nak saman kerajaan kita tak ada masalah sebab kita telah mengikut proses yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan. Proses itu berjalan seperti dikehendaki undang-undang," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Semalam Sinar Harian melaporkan sejumlah 300 peniaga dan pengusaha tanah bersama lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di sebuah restoran di sini bagi membincangkan mengenai persekitaran perniagaan dan kenaikan caj cukai tanah di negeri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bawa ke mahkamah jika tiada penyelesaian menang-menang

Hasil perbincangan tersebut sebahagian besar daripada mereka sepakat untuk memfailkan semakan mahkamah mengenai keputusan kerajaan Pahang menaikkan caj cukai tanah.

Sallehudin berkata, pengusaha berhak memfailkan semakan semula menerusi mahkamah dan kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk menjawab dan menerangkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita pun tak nak membebankan pekebun kecil, pemilik rumah dan peneroka Felda.

"Yang menjadi isu adalah kita naikkan cukai bagi tanah status NIL Condition (tidak mempunyai syarat nyata). NIL Condition ini ialah dia boleh buat apa pun atas tanah tapi membayar amaun cukai yang jauh lebih rendah atau sama dengan pemilik tanah biasa. Hal ini sebenarnya tidak adil. Jadi kita kena beri cukai kadar tertinggi," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, bagi pengusaha tanah terutama bagi tanah tidak mempunyai syarat nyata yang ingin membuat rayuan, mereka boleh rujuk ke semua Pejabat Daerah seluruh negeri.

“Perwakilan kuasa telah diberikan kepada Pendaftar Hak Milik dan Pentadbir Tanah bagi memudahkan urusan pemilik tanah membuat permohonan tukar syarat.

“Bagi pengurangan cukai pula boleh membuat permohonan rayuan pengurangan cukai tanah kerana ada jawatankuasa yang akan mendengar permohonan itu," katanya.