Bangunan runtuh di Afrika Selatan korbankan 7 mangsa, 39 masih hilang

Anggota penyelamat menjalankan operasi menyelamat di kawasan kejadian. Foto REUTERS
Anggota penyelamat menjalankan operasi menyelamat di kawasan kejadian. Foto REUTERS
A
A
A

CAPE TOWN - Jumlah orang yang terbunuh dalam kejadian runtuhan bangunan yang sedang dalam pembinaan di Afrika Selatan meningkat kepada tujuh mangsa dengan 39 orang masih hilang, kata pihak berkuasa pada Rabu, lapor Xinhua.

Bangunan bertingkat itu runtuh pada petang Isnin di bandar pesisir George, yang terletak kira-kira 400 kilometer di timur Cape Town, di wilayah Western Cape.

Punca runtuhan bangunan tersebut, yang termasuk tempat letak kereta bawah tanah, masih dalam siasatan.

Seramai 36 orang telah dikeluarkan oleh pasukan penyelamat daripada runtuhan tersebut, "operasi menyelamat kini menjangkau 49 jam setakat 14:30 petang ini, 8 Mei," menurut kemas kini terkini kerajaan perbandaran George.

Daripada 36 orang itu, tujuh telah disahkan meninggal dunia manakala 16 yang lain berada dalam keadaan kritikal, menurut pihak perbandaran.

"Sebanyak 39 daripada 75 pekerja awal di lokasi masih belum dapat dikesan pada masa ini," katanya.

Operasi menyelamat di tapak bangunan itu masih diteruskan dengan pasukan penyelamat pelbagai disiplin membabitkan lebih 200 anggota perkhidmatan kecemasan dari seluruh wilayah, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Western Cape.

Perdana Menteri Western Cape, Alan Winde menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengucapkan terima kasih kepada semua individu serta organisasi yang terlibat dalam usaha menyelamat dan tindak balas kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Saya merasakan kesakitan yang sama dengan keluarga mangsa yang terkorban. Kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk menentukan punca sebenar insiden ini," katanya dalam kenyataan itu.

"Pasukan kami di lapangan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menyelamatkan 39 individu yang masih hilang. Kita tidak boleh berputus asa," katanya. - Bernama-Xinhua

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!