Pusat Galen saran kerajaan keluarkan gula daripada barang kawalan

Gula murah buatan sendiri mendorong kepada pengambilan yang lebih tinggi. Gambar hiasan. Gambar kecil: Azrul
Gula murah buatan sendiri mendorong kepada pengambilan yang lebih tinggi. Gambar hiasan. Gambar kecil: Azrul
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Organisasi penyelidikan dan advokasi dasar berkaitan isu kesihatan, Pusat Galen menyarankan kerajaan supaya mengeluarkan gula daripada senarai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi mencegah serta mengurangkan kadar diabetes di negara ini.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, ia berikutan harga gula yang ditawarkan sangat rendah berbanding negara pengeluar lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Ia mempunyai implikasi langsung kepada penyebaran diabetes berterusan dan tidak terkawal di negara ini kerana boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular-buah pinggang-metabolik (CKM).

"Kawalan harga ke atas gula adalah faktor pemboleh utama penggunaan gula berlebihan dalam makanan kita. Gula murah buatan sendiri mendorong kepada pengambilan yang lebih tinggi," katanya pada Khamis.

Tambah beliau, harga gula di Malaysia kini dihadkan pada RM2.85 sekilogram untuk gula kasar dan RM2.95 sekilogram untuk gula halus sejak 2018.

Pusat Galen menggesa kerajaan supaya mengeluarkan gula sebagai barangan terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi mencegah dan mengurangkan penularan diabetes di Malaysia. Gambar hiasan
Pusat Galen menggesa kerajaan supaya mengeluarkan gula sebagai barangan terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi mencegah dan mengurangkan penularan diabetes di Malaysia. Gambar hiasan

Ujarnya, harga tersebut lebih rendah daripada negara jiran yang Malaysia mengimport gula mentah namun kos operasi untuk menghasilkan gula runcit itu sebenarnya sekitar RM3.85.

“Akibat kawalan harga dan walaupun subsidi dimansuhkan sejak Oktober 2013, kerajaan terpaksa memberikan bayaran insentif atau lebih tepat lagi subsidi kepada pengilang sejak November 2023 sehingga RM1 bagi sekilogram gula.

Artikel Berkaitan:

"Bagi gula mentah dan halus yang ditakrifkan kepada sekitar RM42 juta setiap bulan dan antara RM500 hingga RM600 juta setiap tahun. Bagi menangani masalah ini, gula tidak seharusnya lagi menjadi barang terkawal.

"Kerajaan perlu mengapung atau menaikkan harga siling gula. Sudah tentu ia tidak harus terus memberi subsidi atau memberi bayaran insentif kepada pengilang gula untuk membuat perbezaan antara pengeluaran kos dan harga runcit," jelasnya.

Menurutnya lagi, peningkatan kos bahan mentah dan nilai mata wang yang turun naik akan menyebabkan jurang itu terus meningkat serta membawa kepada subsidi lebih besar pada masa hadapan.

Katanya, Malaysia merupakan salah satu negara yang meletakkan kawalan harga ke atas gula dan memberikan subsidi atau insentif kepada pengeluar untuk membantu memulihkan kos bagi mengaut keuntungan besar.

"Sudah pasti kita menjadi satu-satunya negara di dunia yang melakukan perkara ini dan pada masa sama mengenakan cukai minuman manis. Dasar itu tidak masuk akal, tidak berfungsi dan membahayakan rakyat Malaysia.

"Ditambah pula dengan tabiat pemakanan tidak sihat dan gaya hidup kurang aktif sangat bahaya. Seramai tujuh juta orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun ke atas dijangka menghidap diabetes menjelang 2025," ujar Azrul.

Menurut beliau, kadar diabetes adalah antara paling tinggi di dunia apabila lebih daripada lima juta atau 16 peratus populasi dewasa yang mempunyai sakit buah pinggang kronik juga menghidap penyakit kencing manis.

Tambahnya, kes tersebut turut meningkat dalam kalangan kanak-kanak apabila satu pertiga daripada mereka mempunyai berat badan berlebihan dan sering mengambil minuman berkarbonat.

Jelas Azrul, kanak-kanak obes mempunyai kira-kira empat kali lebih besar risiko menghidap diabetes Jenis 2 berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!