[VIDEO] Ganti silibus mata pelajaran tidak relevan - Tunku Mahkota Ismail

A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah sistem pendidikan negara perlu berubah dengan silibus mata pelajaran sekolah tidak relevan diperbaharui.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, langkah itu adalah satu keperluan kerana pendidikan berkualiti adalah asas kemajuan dan penting bagi penyelesaian pelbagai isu.

Baginda seterusnya menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil langkah lebih proaktif bagi meningkatkan kualiti sistem dan fasiliti pendidikan negara.

"Saya sering tekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada bangsa Johor. Ia adalah asas kemajuan negeri dan penting bagi selesaikan pelbagai isu.

"Pendidikan berkualiti akan buka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi akan datang.

"Satu perubahan penting yang perlu dilaksanakan adalah dengan memperbaharui silibus-silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan lagi.

"Jika tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional biarkan Johor jadi negeri yang pertama untuk mengubah silibus di sekolah-sekolah di Johor," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika ucapan perasmian pembukaan penggal persidangan ketiga bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Kota Iskandar di sini, pada Khamis untuk kali pertama sebagai Pemangku Sultan Johor.

Artikel Berkaitan:

Tunku Mahkota Ismail turut menitahkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia menerima teguran Laporan Bank Dunia mengenai pendidikan negara, bulan lalu.

Tunku Mahkota Ismail
Tunku Mahkota Ismail

"Jika kita masih tidak dapat menerima hakikat seperti yang dilaporkan dalam Laporan Bank Dunia baru-baru ini dan kedudukan terkini pelajar kita, maka kita tidak sepatutnya mengeluh sekiranya generasi masa hadapan kurang berdaya saing berbanding rakan serantau," titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail merujuk laporan terbaru Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' pada 25 April lalu, yang dilaporkan memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan.

Ia berbanding pelajar Vietnam walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Laporan itu juga menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca menjelang akhir Tahun 5, iaitu jauh lebih teruk daripada rakan serantau, selain pelajar Malaysia dilapor menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun, manakala pelajar Vietnam mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa sama.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail menetapkan sasaran supaya setiap generasi muda di negeri ini melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Saya ingin menzahirkan pada masa akan datang, setiap anak Johor perlu tamatkan pengajian di peringkat IPT dan bukan lagi peringkat menengah sahaja," titah baginda.

Baginda juga mahu Johor melahirkan lebih ramai pelajar yang berkemahiran dalam teknologi dan terdedah kepada perubahan teknologi semasa.

Titah baginda, ia berikutan semakin banyak pusat data berskala besar yang dibuka di Johor berikutan kemasukan pelabur asing.

"Johor berpotensi jadi hab teknologi dan inovasi negara.

"Oleh itu, inisiatif-inisiatif baharu yang lebih proaktif untuk membantu mempersiapkan golongan belia Johor hadapi cabaran masa depan dengan pembangunan pusat data berskala besar di Johor, juga perlu diadakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!