Bunian Bikerz santuni anak yatim KAYFAZ

Bunian Bikerz menyantuni penghuni KAYFAZ pada Majlis Aidilfitri Tautan Raya Selautan Kasih, Sabtu lepas.
Bunian Bikerz menyantuni penghuni KAYFAZ pada Majlis Aidilfitri Tautan Raya Selautan Kasih, Sabtu lepas.
A
A
A

BUKIT KATIL - Kegembiraan jelas terpancar di raut wajah 33 penghuni Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ) di Bukit Katil, Melaka apabila diraikan pada Program Aidilfitri Tautan Raya Selautan Kasih, Sabtu lepas.

Program amal kira-kira dua jam itu disertai 20 penunggang mewakili Kelab Bunian Bikerz dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kapar Setia, Klang.

Kehadiran ahli Bunian Bikerz dengan motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi dari Meru, Klang itu disambut penyelia asrama, Zurina Mohammad dan anak-yatim.

Jawatankuasa pelaksana program, Shahrizal Kamaruzaman berkata, program itu diharap mampu memberi sinar kegembiraan kepada anak yatim terbabit selain dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

Bunian Bikerz bekerjasama dengan KRT Taman Kapar menganjurkan program di KAYFAZ.
Bunian Bikerz bekerjasama dengan KRT Taman Kapar menganjurkan program di KAYFAZ.

“Syukur alhamdulillah. Kami berasa sangat gembira di atas sumbangan yang diberikan. Jelas sekali anak-anak syurga di KAYFAZ sangat ceria selepas program yang diadakan,” katanya.

Beliau berkata, mereka berharap inisiatif kecil ini dapat melakar senyuman buat anak-anak yatim tersebut, sekali gus meringankan beban pengurusan KAYFAZ.

“Walaupun dalam keadaan sederhana tetapi peluang untuk menyantuni anak-anak ini dapat direalisasikan apabila dapat berkumpul bersama-sama dan menyampaikan sumbangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hasnurul Nizam ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Mohd Hasnurul Nizam ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Pengerusi Bunian Bikerz, Mohd Hasnurul Nizam Ibrahim pula berkata, sejak penubuhan empat tahun lalu, kelab itu sememangnya aktif mengambil bahagian dalam kegiatan amal sebagai sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

Katanya, sebelum ini mereka menganjurkan program raya bersama Anak-Anak Yatim di Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam Kampung Melayu di Ipoh, Program Motivasi Pelajar SPM di Seremban dan Konvoi Subuh Berjemaah di Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh, Selangor.

“Semoga usaha murni dijalankan oleh Bunian Bikerz yang dibantu KRT Taman Kapar Setia dan dibarakan oleh Sinar Harian akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Bunian Bikerz aktif mengambil bahagian dalam kegiatan amal sebagai sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.
Bunian Bikerz aktif mengambil bahagian dalam kegiatan amal sebagai sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang terdiri daripada ahli-ahli kelab Bunian Bikerz, syarikat korporat seperti Worldwide Holding, MyIPO, V5 serta individu-individu yang prihatin.

“Terima kasih penyumbang. Semoga sumbangan kalian mendapat ganjaran sewajarnya di akhirat kelak. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pengurusan KAYFAZ kerana sudi menerima kunjungan Bunian Bikerz,” katanya.

Selain menyampaikan sumbangan kepada pengurusan KAYFAZ, Bunian Bikerz dan KRT Taman Kapar Setia turut memberikan duit raya kepada anak-anak yatim berkenaan.

Pemberian duit raya kepada anak-anak yatim KAYFAZ.
Pemberian duit raya kepada anak-anak yatim KAYFAZ.

Kumpulan Karangkraf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas turut mewakafkan tiga set al-Quran Wakaf Ummah untuk digunakan oleh penghuni KAYFAZ.

Menambah kemeriahan, program diceriakan dengan aktiviti kuiz yang menyediakan hadiah menarik dan menaiki motosikal berkuasa tinggi.

KRT Taman Kapar Setia bersama anak-anak syurga.
KRT Taman Kapar Setia bersama anak-anak syurga.

TERUJA

Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Kapar Setia, Mohd Aris Mohd Tamami pula berkata, mereka berasa teruja kerana ini kali pertama mereka menganjurkan aktiviti bersama anak yatim dan kali pertama bekerjasama dengan Bunian Bikerz.

“Seronok dapat bersama mereka dalam majlis sebegini ditambah dengan keceriaan wajah masing-masing ketika menikmati pelbagai juadah yang disediakan. Melihat keletah mereka, membuatkan hati tersentuh dan bersyukur,” katanya.

Mohd Aris
Mohd Aris

KAYFAZ dibangunkan dengan kos sebanyak RM1.2 juta di atas sebidang tanah seluas 1.4 hektar yang diwakafkan oleh Wan Che Mah Hitam kepada Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Melaka (LKPI) untuk membangunkan sebuah rumah anak yatim.

Kompleks tersebut mula beroperasi pada Disember 2004 dan telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob pada 16 Mac 2006.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!