Sinar Karangkraf berjaya kes saman isu pil kurus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Sinar Karangkraf Sdn Bhd bersama dua kakitangannya berjaya dalam kes saman yang dikemukakan sebuah syarikat pengeluar produk kosmetik dan minuman kesihatan di Mahkamah Tinggi, di sini pada 18 Mac berhubung artikel produk kurus, tiga tahun lalu.

Ia selepas Hakim, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menolak tuntutan Syarikat Nanyqish Legacy Sdn Bhd selaku plaintif kerana gagal membuktikan saman terhadap ketiga-tiga defendan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan syarikat produk kosmetik berkenaan membayar kos RM20,000 kepada defendan.

Dalam tuntutan itu, wartawan, Adila Sharinni Wahid dan Pengarang Eksekutif (Digital) Sinar Harian, Ruzy Adila Idris dinamakan masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua sementara Sinar Karangkraf, ketiga.

Saman tort fitnah itu difailkan berdasarkan artikel bertajuk ‘Produk Kurus Dipercayai Mengandungi Racun Sibutramine Dirampas’ yang dilaporkan dalam laman sesawang akhbar Sinar Harian bertarikh 14 April 2021.

Berita itu turut disertakan dengan gambar produk yang didakwa plaintif, merupakan miliknya, dikatakan telah dirampas oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Menerusi keputusan penghakiman dimuat naik dalam sistem mahkamah pada Isnin lalu, hakim berpuas hati bahawa, berita itu ditulis berkaitan kenyataan media Pengarah JKNK di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di sini.

Menurutnya, plaintif gagal membuktikan berita itu mengandungi kenyataan yang merujuk kepadanya kerana nama syarikat tidak didedahkan sama sekali.

“Mahkamah berpendapat, tiada keterangan berdokumen dikemukakan oleh plaintif untuk membuktikan produk tersebut, menjadi teras tuntutan, adalah miliknya.

Artikel Berkaitan:

“Sedangkan ia merupakan gambar yang dimuat naik Risalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada media sosial Facebook, JKNK dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri, yang menyatakan dengan jelas bahawa penggunaan ubat kurus atau pil pelangsing mengandungi sibutramine,” katanya.

Beliau berkata, berita tersebut sekadar laporan sidang media sementara risalah yang dimuat naik hanya bertujuan permakluman kepada masyarakat.

Menurutnya, perkataan dalam artikel tidak menyebabkan pembaca berpandangan bahawa plaintif telah mengeluarkan produk yang salah.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, berita tersebut merujuk kepada sumber yang boleh dipercayai, maka tiada keperluan defendan menemubual atau mendapatkan maklum balas daripada plaintif.

“Semua defendan mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang dan moral untuk memaklumkan kepada masyarakat dengan menyiarkan berita berkaitan produk mengandungi racun yang boleh mendatangkan kemudaratan.

“Susulan itu, plaintif gagal membuktikan bahawa wujud sebarang niat jahat oleh defendan terhadapnya,” kata hakim tersebut.

Pada 14 April 2021, Sinar Harian melaporkan, JKNK merampas empat produk kurus bernilai RM14,000 kerana dipercayai mengandungi racun sibutramine yang boleh menyebabkan penggunanya mengalami gangguan mental.

JKNK berkata, racun tersebut kerap dijumpai dalam produk pelangsingan berbentuk pil yang dijual secara haram.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!