X

Kindly register in order to view this article
!

Bawa baton sejauh 13,281km

SEKUMPULAN peserta daripada kumpulan Throttle Riot bergaya sebelum acara bermula.
A
A

Ratusan wanita tempatan cipta sejarah sertai acara menunggang motosikal berganti-ganti pertama di Malaysia

LAZIMNYA, di Malaysia kita hanya biasa mendengar sukan lari berganti-ganti seperti 4 x 100 meter (m), 4 x 200m ataupun 4 x 400m.

Namun, jika Sinar Turbo mengatakan terdapat acara yang mempraktikkan konsep yang sama, namun melibatkan motosikal dan lebih uniknya membabitkan ratusan penunggang wanita tempatan, adakah pembaca dapat mempercayainya?

Peredaran masa nampaknya membuktikan segala yang aneh bukan satu yang mustahil.

Kunjungan Sinar Turbo pada program yang dinamakan Women Riders World Relay (WRWR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Selangor menemukan acara berkenaan baru-baru ini.

 SUASANA meriah dengan aksi dan gelagat penunggang wanita
SUASANA meriah dengan aksi dan gelagat penunggang wanita

Ya, terus terang, ia sangat mengagumkan dan tidak keterlaluan untuk ditelah, ia merupakan yang julung-julung kalinya dan paling unik pernah diadakan di Malaysia.

Menjelaskan lebih lanjut, Duta WRWR Malaysia, Tina Sharman memberitahu, WRWR telah bermula di negara ini pada 27 Februari tahun lalu. Katanya, acara berkenaan berlangsung secara berterusan di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Di negara ini, WRWR diselaras dan dianjurkan oleh pihak Ripple Relay Malaysia.

"WRWR menggunakan baton sebagai simbolik yang akan bertukar tangan daripada sekumpulan penunggang wanita ke penunggang seterusnya.

"Untuk memahami dengan lebih jelas apakah WRWR, kita hanya perlu membayangkan acara larian olah raga 400 meter lari berganti-ganti (yang melibatkan pelari menggunakan kudrat) namun WRWR membabitkan motosikal berganti (yang melibatkan penunggang dan motosikal pilihan)," katanya ketika ditemui di SIC baru-baru ini.



TINA bersemangat mengangkat baton yang merupakan simbolik WRWR. Acara itu diasaskan oleh seorang wanita dari United Kingdom dua tahun lalu.
TINA bersemangat mengangkat baton yang merupakan simbolik WRWR. Acara itu diasaskan oleh seorang wanita dari United Kingdom dua tahun lalu.

Menyingkap historiografi sukan baharu tersebut, ia mula diasaskan oleh seorang wanita dari United Kingdom, Hayley Bell sekitar Ogos dua tahun lalu dengan satu matlamat utamanya iaitu mahu menggalakkan penyertaan wanita dan mencetus semangat golongan itu dalam arena permotoran.

Kekecewaan Hayley dan rasa tidak puas hatinya gara-gara sikap berat sebelah ditambah dipandang lekeh oleh kaum lelaki terhadap penunggang wanita dikatakan telah menguatkan azamnya untuk merealisasikan konsep motosikal berganti.

Hasilnya, WRWR telah diiktiraf sebagai satu acara bermotor berganti pertama di dunia. Ia telah diadakan secara besar-besaran melibatkan 100 buah negara dengan lebih 15,000 wanita menyertainya.



ACARA penutup WRWR yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan sebanyak 190 buah motosikal mengambil bahagian.
ACARA penutup WRWR yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan sebanyak 190 buah motosikal mengambil bahagian.

Cetus rasa berani

Tina yang menunggang motosikal Harley Davidson merangkap marshal wanita Harley Davidson pertama di Malaysia berkata, dalam menjayakan WRWR, pihaknya dibantu oleh Group Committee yang bertindak mempromosi acara itu dalam kalangan penunggang wanita tempatan.

"Kami akan pastikan pengurusan penunggang-penunggang dan perjalanan baton di Malaysia berjalan lancar dan sukses.

"Syukur, acara itu mendapat sambutan luar biasa sekali gus melengkapkan relay kami dengan menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei. Pertukaran baton terakhir dilakukan pada 30 November lalu di premis Harley Davidson Kuala Lumpur," katanya.

Memang tidak dapat dinafikan, masyarakat masih memandang skeptikal terhadap wanita yang lasak dan hal itu diperakui oleh Tina.



LASAK DAN JELITA. Itu ungkapan paling wajar ditujukan kepada para penunggang wanita yang menyertai WRWR di SIC baru-baru ini.
LASAK DAN JELITA. Itu ungkapan paling wajar ditujukan kepada para penunggang wanita yang menyertai WRWR di SIC baru-baru ini.

"Ya, itu realiti yang mana wanita memang tidak digalakkan untuk menunggang motosikal atas banyak faktor antaranya soal keselamatan dan budaya.

"Namun, bagi kami, idea Hayley itu mampu membentuk wanita dan menarik minat wanita supaya mereka tampil dengan lebih berani dan mencabar diri dalam konteks sukan permotoran wanita," ujarnya dengan nada penuh optimis.

Ternyata, 'perjuangan' mereka tidak sia-sia apabila WRWR telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada penunggang wanita di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur.

Bukan itu sahaja, katanya, pelbagai kelab permotoran wanita menonjolkan diri dengan penuh semangat menyahut cabaran WRWR.



TINA (kanan) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (tengah) yang hadir memberi sokongan penuh kepada acara yang melibatkan semua penunggang wanita.
TINA (kanan) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (tengah) yang hadir memberi sokongan penuh kepada acara yang melibatkan semua penunggang wanita.

"Mereka merentas pelosok Malaysia dengan motosikal pelbagai jenama iaitu daripada yang berkuasa rendah seperti 155cc hinggalah berkuasa besar 1600cc seperti Harley Davidson, Ducati, BMW, Triumph, Yamaha, Kawasaki, Vespa dan juga Benelli.

"Saya selaku duta kecil, gembira dengan komitmen semua kelab terlibat yang telah berjaya membawa baton mengelilingi Malaysia sejauh 13,281 kilometer (km). Ini merupakan satu pencapaian yang harus dibanggakan," kata anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Keselamatan jadi keutamaan

Bersembang dengan Tina membuatkan ego lelaki penulis tercabar dek melihat kesungguhan dan kecekapannya mengawal motosikal berkuasa besar, Harley Davidson.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, soal keselamatan kerap kali diucapkannya sepanjang sesi wawancara berlangsung.

"Saya tidak pernah berkompromi soal keselamatan. Dalam apa perkara yang saya lakukan terutama ketika menunggang motosikal, saya akan pastikan semuanya lengkap dan tersedia," katanya.

Menariknya tentang wanita lasak itu lagi, beliau turut aktif dalam memberi kesedaran tentang pentingnya berpakaian lengkap ketika berada di atas jalan raya, menjalankan kempen keselamatan khusus untuk wanita dan bertindak sebagai pengulas teknikal motosikal berkuasa tinggi.

Berbalik semula kepada penganjuran WRWR, Tina berharap dengan adanya aktiviti sebegitu, ia mampu membuka mata orang ramai tentang kemampuan seorang wanita.

"Besar harapan saya agar tidak lagi sesiapa yang memandang rendah terhadap golongan Hawa.

"Seperkara lagi, saya juga harap pengusaha kelengkapan motosikal (riding gear) tidak memandang sepi dan bersifat adil dengan penunggang wanita untuk mendapatkan aksesori atau alatan yang diperlukan sama seperti kebebasan kami memilih pakaian di pusat beli-belah,” ujarnya penuh harapan.

KELAB permotoran yang terlibat dalam Women Riders World Relay

  • Ladies of Harley Davidson Malaysia
  • Desmo Owners Club Malaysia
  • Bikes & Roses
  • Momxys MG
  • Queen Riders Malaysia
  • Lady Bikers Johor
  • Malacca Lady Bikerz
  • Bad Girls Throttle
  • GIVIBella
  • Throttle Riot
  • Unicon Bikers
  • Pulas Throttle
  • Kawasaki Lady Bikers