Warga emas maut dilanggar, diseret sejauh 7.2 meter

Kenderaan suspek melanggar sebuah rumah selepas menyeret motosikal warga emas dalam kemalangan di Jalan Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang.
Kenderaan suspek melanggar sebuah rumah selepas menyeret motosikal warga emas dalam kemalangan di Jalan Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warga emas maut dilanggar dan diseret sejauh 7.2 meter oleh pemandu di bawah pengaruh dadah dalam kemalangan di Jalan Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dipandu lelaki berusia 42 tahun hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

Menurut beliau, kenderaan itu kemudiannya melanggar dan menyeret motosikal mangsa serta berhenti selepas merempuh sebuah rumah yang berada di kanan jalan.

"Mangsa, M Noor Awang, 67, dibawa ke Klinik Kesihatan Jeram Tekoh untuk menerima rawatan tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 11.50 pagi.

"Jenazah kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Choon Foo berkata, hasil saringan awal urin suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine selain memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian," katanya.