Rujuk PKOB untuk salurkan bantuan banjir - Wan Rosdy

Wan Rosdy(Kanan) bersama bantuan yang diserahkan kepada mangsa banjir
Wan Rosdy(Kanan) bersama bantuan yang diserahkan kepada mangsa banjir
A
A
A

TEMERLOH - Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini perlu merujuk Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) setiap daerah terlebih dahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut untuk mengelakkan pertindihan tugas.

Menurutnya, ia juga akan memudahkan pihak NGO terlibat untuk tujuan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir terlibat.

"Kita ada PKOB yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan Minta mereka hubungi PKOB dan kita bukan nak susahkan mereka (NGO) tapi Nak elakkan pertindihan kerja.

"Jadi pengerusi PKOB boleh maklumkan kepada NGO ini pergi ke rumah mangsa, sekolah, surau jadi ia lebih teratur, mudahkan semua pihak" katanya.

Wan Rosdy (Kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di daerah Temerloh di PPS SK Teluk Ira
Wan Rosdy (Kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di daerah Temerloh di PPS SK Teluk Ira

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ira di sini pada Jumaat yang menempatkan 28 mangsa.

Sebelum itu,beliau melawat 24 orang mangsa banjir di PPS SK Tebing Tinggi, Jerantut dalam program lawatan banjir di daerah Jerantut dan Temerloh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Rosdy menyifatkan suasana banjir di negeri itu dalam keadaan terkawal.

Memuji semua kerjasama seperti agensi dan jabatan terlibat, beliau juga menyifatkan mangsa banjir kali ini turut memberikan kerjasama baik dengan mengikut arahan pihak berkuasa agar berpindah.

"Semua beri kerjasama,tiada one man show termasuk mangsa banjir berbanding tiga empat tahun lepas ada yang enggan berpindah walaupun diarahkan oleh pihak berkuasa," tambahnya.

Mengulas bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir di negeri itu, beliau memberitahu kerajaan negeri akan memperhalusi perkara tersebut selepas banjir.

"Buat masa ini keutamaan kita ialah memastikan semua mangsa banjir berada dalam keadaan selamat, selesa dan cukup bekalan makanan," jelas Wan Rosdy.