Wan Rosdy nafi dakwaan MP BN diarah kumpul di Cameron Highlands

Wan Rosdy menemani Ahmad Zahid (kanan) ketika lawatan di Cameron Highlands pada Sabtu. Foto FB Wan Rosdy
Wan Rosdy menemani Ahmad Zahid (kanan) ketika lawatan di Cameron Highlands pada Sabtu. Foto FB Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berkumpul di Cameron Highlands bagi menyatakan pendirian menyokong Perdana Menteri.

Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak betul dan fitnah semata-mata.

Menurutnya, tohmahan tersebut hanya untuk mensensasikan isu Langkah Dubai.

"Fitnah dan tohmahan ini dibuat pula oleh seorang penulis blog veteran yang mengabdikan diri di luar negara kerana takut diambil tindakan atas fitnah-fitnah yang dibuat hampir setiap hari.

"Maka saya menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak percaya dengan fitnah murahan seperti ini," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada malam Ahad.

Naib Presiden UMNO itu menjelaskan sebaliknya kehadiran Ahmad Zahid ke Cameron Highlands pada Sabtu adalah lawatan pasca bencana di Kampung Orang Asli Sungai Ruil susulan kejadian tanah runtuh pada bulan Oktober lalu.

Katanya, hasil daripada lawatan tersebut beberapa keputusan mustahak yang menguntungkan rakyat juga telah dibuat,

"Ia kemudiannya disusuli dengan program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

"Program ini dihadiri oleh pimpinan UMNO di peringkat negeri dan bahagian," jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata, parti UMNO akan terus menjunjung titah Yang Dipertuan Agong yang telah menggunakan wewenang baginda untuk mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ini ditubuhkan.

Justeru, fokus dan tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada negara dan rakyat, bukan bermain politik murahan yang merugikan.