Agong berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Jabatan Perdana Menteri

Sultan Ibrahim diiringi Anwar dan Fadillah semasa baginda berkenan berangkat menghadiri majlis Santapan Rumah Terbuka Madani Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri Tahun 2024 di Puspanitapuri hari ini. Foto Bernama
Sultan Ibrahim diiringi Anwar dan Fadillah semasa baginda berkenan berangkat menghadiri majlis Santapan Rumah Terbuka Madani Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri Tahun 2024 di Puspanitapuri hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Madani Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 12.47 tengah hari disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa kira-kira sejam pada majlis itu.

Majlis yang bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 tetamu, terdiri daripada seluruh warga JPM dan agensi di bawahnya.

Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Sementara itu, JPM dalam kenyataan memaklumkan tujuan utama penganjuran majlis itu adalah untuk memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan muhibah antara warga JPM dengan barisan pengurusan pentadbiran. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: