Ugut bankrap, menyamar kakitangan bank taktik sindiket perangkap mangsa

Muhammad Helmi membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju Khamis lalu.
Muhammad Helmi membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju Khamis lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penasihat Strategik Pertubuhan Malaysia Madani, Muhammad Helmi Azhar membuat laporan polis selepas menerima panggilan individu yang menyamar dengan membuat ugutan notis kebankrapan pada Khamis.

Individu terbabit didakwa menyamar sebagai kakitangan bahagian undang-undang sebuah bank.

Muhammad Helmi berkata, dia dihubungi individu terbabit kira-kira jam 10 pagi ketika dalam perjalanan menuju ke Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

"Individu itu memaklumkan bahawa saya perlu menghadiri ke Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta pada jam 11 pagi untuk mendengar prosiding berkaitan kebankarapan pada hari yang sama.

"Bagaimanapun setelah semakan dilakukan, saya dapati, nama saya tiada dalam sebarang rekod berkaitan kebankrapan pada tarikh tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, individu terbabit memberikan nombor kes palsu sebaik dia menghubungi bagi mengesahkan perkara terbabit.

"Saya kemudiannya menghubungi khidmat pelanggan bank berkenaan namun dimaklumkan bahawa nombor yang digunakan individu itu merupakan sebuah syarikat pengutip hutang yang berpangkalan di ibu negara.

"Individu yang mengaku daripada bahagian undang-undang bank berkenaan sebenarnya merupakan kakitangan syarikat terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Helmi yang juga Ahli Gerakan Revolusi Anti Rasuah SPRM kemudiannya menghubungi Setiausaha Sulit kepada Menteri Dalam Negeri bagi memaklumkan berkaitan perkara terbabit.

"Selain itu, satu laporan polis berhubung kejadian turut dibuat di Balai Polis Wangsa Maju. Saya berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak berkaitan yang sewenangnya menjual nama mahkamah untuk perbuatan itu.

"Tindakan sebegini jelas bercanggah yang membela nasib rakyat berkaitan isu kebankrapan. Saya menggesa agar lesen syarikat pengutip hutang terbabit digantung bagi mengelakkan lebih ramai rakyat yang diugut berkaitan kebankrapan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!