Semua pihak kena kawal diri, kempen dengan berhemah - Sock Tao

Sock Tao membuat gimik pelancaran Kejohanan Bola Jaring Tertutup Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Kampung Asam Kumbang pada Ahad.
Sock Tao membuat gimik pelancaran Kejohanan Bola Jaring Tertutup Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Kampung Asam Kumbang pada Ahad.
A
A
A

HULU SELANGOR - Semua jentera parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu diingatkan agar berkempen dengan berhemah dan menjunjung Rukun Negara.

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao berkata, langkah ini perlu bagi mengelak timbulnya provokasi yang boleh mencetuskan kebimbangan ramai.

"Saya harap pihak yang berkempen atau penyokong sama ada PH atau lawan supaya junjung Perlembagaan, Rukun Negara.

"Semua pihak kena kawal diri dan kempen secara berhemah," katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Kejohanan Bola Jaring Tertutup Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu di sini pada Ahad.

Polis mengesahkan telah menahan dua lelaki warga tempatan kerana dipercayai berkempen dengan meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada kenderaan di pekan Kuala Kubu Bharu seperti yang tular ketika ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kedua-duanya direman selama tiga hari bermula Ahad.

Beliau dalam masa sama turut memaklumkan kenderaan jenis pacuan empat roda yang digunakan untuk berkempen juga dirampas.

Terdahulu, Sock Tao meluangkan masa bermesra dengan semua pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), PH, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin bertanding bagi pihak PRM, manakala Nyau Ke Xin mewakili Bebas.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu, merangkumi 46 peratus pengundi Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lima peratus pengundi lain, termasuk Orang Asli.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!