JKR Pahang nafi Jalan Kuantan-Segamat FT12 dibuka

Sebahagian Jalan Kuantan-Segamat ditutup untuk semua jenis kenderaan bermula 7Januari lalu berikutan kejadian jalan mendap di Seksyen 102, berhampiran kawasan burung unta.
Sebahagian Jalan Kuantan-Segamat ditutup untuk semua jenis kenderaan bermula 7Januari lalu berikutan kejadian jalan mendap di Seksyen 102, berhampiran kawasan burung unta.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang pada Ahad menafikan maklumat tular di aplikasi WhatsApp yang menyatakan Jalan Kuantan-Segamat (FT12), KM72 telah dibuka dan boleh dilalui mengikut jadual kerja dikeluarkan jabatan itu.

JKR Pahang dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, laluan tersebut masih ditutup seperti notis pemberitahuan penutupan jalan yang dikeluarkan oleh JKR Daerah Pekan sebelum ini dan kerja pemasangan jambatan bailey di lokasi berlakunya runtuhan jalan masih giat dilaksanakan.

"Laluan tanah di sebelah jambatan bailey hanya dibina sementara di atas pembentung yang telah runtuh untuk melancarkan kerja-kerja di tapak dan dikhuatiri tidak selamat dilalui oleh pengguna jalan raya.

"Sehubungan itu, JKR tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang insiden yang terjadi terhadap pengguna jalan raya tersebut," menurut hantaran itu.

Selain itu, JKR akan melaporkan kepada pihak berwajib untuk melakukan siasatan terhadap penyebaran berita palsu berkenaan dan menasihati orang awam agar tidak mempercayai maklumat tersebut serta tidak menyebarkannya kepada orang lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: