Letupan bom Sungai Golok: Polis mula guna kereta perisai

Muhamad Zaki Harun. Foto Bernama
Muhamad Zaki Harun. Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Polis Kelantan mula menggunakan kenderaan berperisai AFV Commando V150 pada Jumaat bagi memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan negara berikutan letupan bom dan tembakan di Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand Rabu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kawalan dan rondaan menggunakan kenderaan itu dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) membabitkan seorang pegawai dan 13 anggota.

Menurut beliau, rondaan turut diteruskan di kawasan Tumpat sepanjang Pos Ular, Pos Simpangan, Pos Nibong, Pos Pisau Raut, Pos Naga Ibu dan Pos Kuala Jambu.

"Kita memang akan meningkatkan keselamatan di sempadan jika berlaku kes seperti ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Warna Warni Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini pada Jumaat.

Muhamad Zaki turut memberitahu, belum menerima secara rasmi laporan berkaitan sebuah kereta yang didakwa menggunakan nombor plat Malaysia dalam insiden berkenaan.

"Saya belum menerima secara rasmi dakwaan itu tetapi kita bertindak segera melakukan rondaan sebaik sahaja kes berlaku," katanya.

Muhamad Zaki (tiga, kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Sambutan Warna Warni Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini pada Jumaat.
Muhamad Zaki (tiga, kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak sempena Majlis Sambutan Warna Warni Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Pol Col Jadsadavit Inprapan berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian menemukan sebuah kenderaan model sedan berwarna putih yang mempunyai nombor pendaftaran negara jiran.

Artikel Berkaitan:

Susulan insiden berkenaan, pihak keselamatan Thailand memperketatkan kawalan di sempadan bagi mengelak pergerakan penjenayah secara bebas di sekitarnya.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam 29 April lalu turut menyebabkan empat anggota polis Thailand cedera dalam insiden berkenaan.

Dalam perkembangan berlainan, Muhamad Zaki juga memaklumkan tiada kes membabitkan penyeludupan senjata api melalui timbunan beras yang dibawa masuk ke negara ini.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan berlaku penyeludupan menggunakan kaedah itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Penyeludup mungkin menggunakan sayur atau beras dan apa sahaja cara tetapi tetapi polis bijak menilai setiap pergerakan penjenayah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!