Pulih nama baik pusat tahfiz

Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Mohd Zahid)
Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Mohd Zahid)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) mengesahkan bahawa sebuah pusat tahfiz di Machang, Kelantan yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual tidak berdaftar dengan persatuan itu.

Presidennya, ustaz Mohd Zahid Mahmood berkata, pihaknya telah mengarahkan Pinta Kelantan untuk menyiasat kewujudan pusat tahfiz berkenaan dan hasil laporan yang diperoleh pusat tahfiz itu tidak bernaung dengan Pinta.

“Walau bagaimanapun, isu ini perlu ditangani sebaiknya kerana ia menyebabkan institusi tahfiz di negara ini terpalit dengan perkara yang tidak elok dan memalukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelasnya, sehingga kini sebanyak 1,245 pusat tahfiz seluruh negara telah mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala 470 lagi di dalam proses pendaftaran.

“Menerusi kaji selidik terbaharu yang kita telah buat, sebanyak 1,052 pusat tahfiz seluruh negara telah mendaftar dengan Pinta dan berdasarkan rekod semua pusat tahfiz yang berdaftar dengan Pinta bersih daripada sebarang kes gangguan seksual, pelanggaran disiplin guru, pelajar dan sebagainya,” jelasnya.

Tambahnya, Pinta yang ditubuhkan pada tahun 2016 kini mempunyai persatuannya di setiap negeri yang ditubuhkan secara sah di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau dalam pada itu mengakui kes gangguan seksual yang berlaku melibatkan institusi tahfiz di negara ini masih terkawal dan boleh dianggap terpencil.

“Memang benar kita tidak dapat pantau semua tenaga pengajar dan pelajar namun kita pernah mengadakan sesi dialog dan pertemuan dengan Pinta negeri untuk mengekang perkara ini daripada berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuklah mengadakan kursus, penerangan mengenai isu gangguan seksual agar guru dan pelajar memahami batas pergaulan di pusat tahfiz,” katanya.

Ulasnya, Pinta juga sedang merancang untuk mengadakan konvensyen khas peringkat kebangsaan bagi membincangkan isu-isu berbangkit berkenaan pusat tahfiz.

“Kita tidak mahu pusat tahfiz ini berterusan dipandang serong oleh masyarakat.

“Sebagai contoh kes laporan liwat di sebuah pusat tahfiz di Kepong beberapa tahun yang lalu disahkan sebagai fitnah apabila dibawa ke mahkamah.

“Begitu juga di Johor seorang pelajar meninggal dunia bukan sebab disebat dengan rotan oleh warden tetapi kerana jangkitan kencing tikus,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!