[VIDEO] Pinta cadang wujud maktab perguruan tahfiz

A
A
A

KUALA LUMPUR - Maktab perguruan tahfiz perlu diwujudkan di negara ini bagi memudahkan tugas merekod segala data peribadi guru serta ustaz yang terlibat dalam institusi berkenaan.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Ustaz Mohd Zahid Mahmood berkata, ia juga dilihat sebagai salah satu langkah untuk memperkasakan institusi berkenaan sekali gus menjadikan mereka yang berada di dalamnya profesional dalam mengurus pelajar.

Penubuhan maktab perguruan tahfiz itu dapat berfungsi dalam mencegah berlakunya kes-kes negatif dan memalukan melibatkan institusi berkenaan sejak akhir-akhir ini. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Zahid
Penubuhan maktab perguruan tahfiz itu dapat berfungsi dalam mencegah berlakunya kes-kes negatif dan memalukan melibatkan institusi berkenaan sejak akhir-akhir ini. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Zahid

Menurutnya, penubuhan maktab itu dapat berfungsi dalam mencegah berlakunya kes-kes negatif dan memalukan melibatkan institusi berkenaan sejak akhir-akhir ini.

“Pinta pernah mencadangkan idea penubuhan maktab perguruan tahfiz kepada kerajaan sebelum ini kerana melihat ia mampu mengubah perjalanan maahad dan sekolah tahfiz untuk terus menjadi institusi yang disegani.

“Kalau ada maktab perguruan mungkin kita boleh tengok cara ustaz mengajar sekali gus memudahkan pemilihan ustaz yang layak untuk menjadi tenaga pengajar,” katanya kepada Sinar Ahad.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes gangguan seksual yang dilaporkan berlaku membabitkan petugas dan pelajar sekolah tahfiz baru-baru ini.

Tambahnya, di peringkat Pinta juga sudah diwujudkan peperiksaan khas supaya pengurusan tahfiz dapat menilai sejauh mana ilmu dan kelulusan pengajian seseorang ustaz itu termasuk hafazannya.

“Tujuan kita buat peperiksaan melibatkan guru ini adalah bagi mengelak sebarang penipuan kerana sijil boleh dibuat.

“Sijil Syahadah atau Sijil Pengajian Alim yang dikeluarkan oleh Pinta ini dapat menjadi nilai tambah kepada seseorang ustaz untuk memilih dan mengajar pusat tahfiz sama ada di bawah persatuan mahupun bukan persatuan.

Selain itu, Mohd Zahid turut mencadangkan supaya diwujudkan sebuah pangkalan data khas untuk pelajar dan guru tahfiz.

“Kita pernah bincang nak buat, tapi oleh kerana kosnya tinggi maka idea ini tidak dapat diteruskan.

“Kalau kerajaan boleh bantu dari segi dana, Pinta boleh teruskan dengan bancian.

“Data ini kita boleh berkongsi dengan polis misalnya, sebab ustaz ini manusia biasa yang mungkin ada kesalahan lampau, kita tidak tahu ustaz itu pernah dipenjarakan atau terlibat dengan kes kecurian dan sebagainya.

“Mungkin ustaz tadi telah berubah, insaf dan bertaubat jadi baik, sebab itu data-data ini penting.

Jelasnya, sekolah-sekolah yang hendak mengambil khidmat guru akan lebih cakna tentang pengambilan tenaga pengajar dengan adanya data itu.

Menurut Mohd Zahid, pihaknya juga merancang untuk menganjurkan konvokesyen khas di peringkat kebangsaan dalam waktu terdekat.

“Kita akan panggil semua ahli jawatankuasa negeri lebih kurang dalam 150 orang untuk berbincang berkenaan kes gangguan seksual termasuk kes-kes lain yang perlu ditangani secara formal di pusat tahfiz,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!