Kerajaan diminta hati-hati melayani 'wishlist' Kedah - Shaiful Hazizy

Laporan Sinar Harian pada 29 April 2024 (kiri) dan Shaiful Hazizy
Laporan Sinar Harian pada 29 April 2024 (kiri) dan Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan dinasihatkan berhati-hati dalam melayani senarai hajat (wist list) Kedah.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia susulan kerajaan Kedah baru sahaja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama sebuah syarikat di Korea Selatan untuk membina Transit Aliran Ringan (LRT) Langkawi dengan teknologi kereta api Maglev.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan untuk membina kereta api Maglev di Langkawi adalah sebuah cadangan yang sangat tidak realistik dan tidak sesuai dengan keperluan semasa.

"Besar mana pula Langkawi sampai perlu kereta api laju? Banyak mana pula pelancong dan penduduk di Langkawi sampai perlu kereta api dengan kapasiti ratusan ribu penumpang.

"Sebab itu 'wishlist' ini adalah sebuah permintaan yang tidak guna akal dan fikiran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Shaiful Hazizy, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, juga ada memaklumkan Kementerian Pengangkutan tidak ada menerima satu pun permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk membina LRT di Langkawi.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan, Perdana Menteri dan kerajaan perlu berhati-hati dan tidak perlu mengambil serius dalam mendengar senarai hajat Kedah itu.

"Kementerian Pengangkutan pula jangan luluskan LRT Langkawi sebab akan akan memalukan dan menampakkan seolah Kedah ini bodoh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shaiful Hazizy berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan berjaya melaksanakan projek-projek mega ini nanti.

"Kita lihat sahaja projek KXP, KRC, Widad Langkawi, Projek Litar Lumba dan macam macam lagi. Hujung hujung, kerajaan Persekutuan juga dipersalahkan," katanya.

Beliau berharap, Perdana Menteri dan kerajaan terus memperkasa dan memberi keyakinan kepada agensi kerajaan persekutuan termasuk Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU Kedah) dalam mengendalikan projek pembangunan secara terus.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Kedah akan membangunkan sistem pengangkutan rel kereta api laju dikenali sebagai maglev di Pulau Langkawi dalam tempoh terdekat.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Haim Hilman Abdullah berkata, maglev mesra alam tersebut menggunakan kepakaran sistem pengangkutan moden dari Korea bagi membangunkan hab bersepadu merangkumi sistem aliran rel dan pusat komersial.

Majlis menandatangani MoU antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat dari Korea Selatan, Royal Eco Train Development (RETD) turut disaksikan Muhammad Sanusi di Wisma Darul Aman.

Kerjasama itu bagi membolehkan satu kajian menyeluruh dilakukan mengenai potensi perkhidmatan LRT maglev yang menggunakan sistem teknologi levitasi magnet serta pembangunan berorientasikan transit (TOD) dibangunkan di Pulau Langkawi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!