LRT maglev di Langkawi: Shaiful Hazizy sifatkan Sanusi bersikap populis

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disifatkan bersikap populis apabila mengumumkan akan membangunkan sistem pengangkutan rel kereta api laju maglev di Pulau Langkawi.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, masih banyak isu lebih penting di Langkawi yang sepatutnya diberikan keutamaan untuk diselesaikan seperti bekalan air dan isu pelancongan berbanding Transit Aliran Ringan (LRT).

Menurutnya, cadangan berkenaan disifatkan kurang cerdik kerana keluasan Langkawi yang kecil selain jumlah penduduk pulau lagenda tidak padat, dan ia tidak memerlukan pengangkutan seumpama.

“Idea yang kelakar! Angan-angan Mat Jenin, itu sahaja yang boleh digambarkan. Inilah masalah Sanusi, selalu sangat bermimpi sampai ke bintang, tetapi tindakannya masih tidak selari dengan angan-angannya. Kalau hendak bermimpi, tidur sahaja sudah cukup, umum sana sini buat apa?,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat dari Korea Selatan, Royal Eco Train Development (RETD) di Wisma Darul Aman.

Kerjasama itu bagi membolehkan satu kajian menyeluruh dilakukan mengenai potensi perkhidmatan LRT maglev yang menggunakan sistem teknologi levitasi magnet serta pembangunan berorientasikan transit (TOD) dibangunkan di Pulau Langkawi.

Shaiful Hazizy turut mempertikaikan kewajaran membina kereta api dengan kelajuan mencecah 431 kilometer/jam sehingga 603 kilometer/jam yang hanya sesuai digunakan untuk kawasan jarak jauh atau penduduk padat.

“Langkawi bukan kawasan sesuai, sebab itu ini idea bodoh. Langkawi itu besar mana? Kalau ikut perancangan kerajaan negeri, dari Jeti Kuah ke Pantai Chenang hanya 19 kilometer. Kalau itu jaraknya, perlukah kereta api maglev ini? Orang tidak betul saja cadang perkara seperti ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, berdasarkan kapasiti penggunaan, dengan purata pelancong ke pulau berkenaan sebanyak tiga juta setahun, anggaran sehari hanya 8,000 pelancong akan menggunakan khidmat rel berkenaan.

“Jumlah itu dicampur dengan 100,000 penduduk, mungkin yang guna kereta api maglev itu dianggarkan 10,000, jika campur penduduk dan pelancong pun tidak cecah 20 000 sehari, buat apa hendak guna kereta api laju yang kapasiti cecah ratusan ribu penumpang sehari.

“Jika Sanusi serius mahu tangani isu di Langkawi, kenal pasti punca masalah sebenar. Sejak bila pula pelancong menurun sebab tiada kereta api laju?

“Setahu saya, pelancong kurang disebabkan kos pelancongan di pulau itu mahal, jadual feri pula makin berkurang selain harga tambang naik. Jadi eloklah Sanusi selesaikan isu ini dahulu,” jelasnya.

Shaiful Hazizy berkata, idea membangunkan LRT maglev mungkin boleh diusulkan selepas kesemua masalah berkaitan rakyat Langkawi diselesaikan.

“Setidak-tidaknya, selesai masalah air dahulu. Inilah masalahnya apabila MB bersikap populis, sibuk umum projek sebab hendak nampak bagus, tetapi keperluan rakyat tidak terjaga. Air adalah keperluan asas, tak kan itu pun hendak diajar,” katanya.

Menurutnya lagi, dibimbangi projek berkenaan akan menerima nasib sama seperti projek mega lain yang diumumkan Sanusi sebelum ini.

“Mana pergi projek Widad Langkasuka bernilai RM40 bilion? Mana pula pelaburan RM2.5 bilion KXP (Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim)? Mana litar lumba Sungai Petani? Semua terbengkalai, alih-alih nanti disalahkan kerajaan negeri (akan datang). Tunggu dan lihat sahaja,” ujarnya.

Shaiful Hazizy mendakwa, kerajaan negeri kini terancam bawah kepimpinan Sanusi bergandingan dengan bekas ahli akademik, iaitu Exco Industri dan Pelaburan, Haim Hilman Abdullah yang sama-sama sedang berangan.

“Jika tidak dibendung, inilah resipi kehancuran kerajaan negeri. Ingatkan apabila ada teknokrat bagus seperti Haim Hilman dalam pentadbiran, pembangunan negeri lebih bijak, teratur dan realistik, sebaliknya sama sahaja,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!