JIM Pahang hantar pulang 40 PATI warga Indonesia

Antara PATI warga Indonesia yang dihantar pulang JIM Pahang setelah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen. - Foto: FB JIM Pahang
Antara PATI warga Indonesia yang dihantar pulang JIM Pahang setelah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen. - Foto: FB JIM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menghantar pulang 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal mereka pada Khamis.

JIM Pahang dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya memaklumkan kesemua PATI yang dihantar pulang terdiri daripada 36 lelaki dan empat wanita.

Menurutnya, penghantaran menggunakan perkhidmatan feri dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka ke Pelabuhan Dumai, Indonesia.

Sebahagian daripada 40 PATI warga Indonesia yang dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 - Foto: FB JIM Pahang
Sebahagian daripada 40 PATI warga Indonesia yang dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 - Foto: FB JIM Pahang

"Kesemua PATI adalah tahanan dari Depot Imigresen Kemayan, Bera yang telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, program pemindahan PATI yang dikendalikan Depot Imigresen Kemayan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh JIM Pahang.

Sebelum itu, JIM Pahang turut memaklumkan pihaknya telah menghantar pulang 69 PATI warga Kemboja, China, Vietnam, Nepal, Pakistan, Filipina, India, Bangladesh dan Sri Lanka pada 30 April lalu melibatkan 48 lelaki, 18 wanita dan tiga kanak-kanak.

"Mereka dihantar pulang dari Depot Imigresen Kemayan ke negara masing-masing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!