Bekas pemain hoki THT simpan rahsia derita kanser

Syamiru pernah menyarung jersi THT pada 2013 hingga 2016. - Foto Terengganu Hockey Team
Syamiru pernah menyarung jersi THT pada 2013 hingga 2016. - Foto Terengganu Hockey Team
A
A
A

KUALA BERANG - Penderitaan bekas pemain Terengganu Hockey Team (THT), Allahyarham Syamiru Aiman Bidin, 27, yang meninggal dunia akibat kanser di kepala Ahad lepas hanya diketahui keluarganya kira-kira dua bulan lalu.

Menurut abangnya, Badrul Hisham Bidin, 40, Allahyarham yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik itu tidak pernah bercerita tentang penyakitnya kepada sesiapa, sesuai dengan perwatakannya yang pendiam tetapi sangat mengambil berat tentang kesusahan orang lain.

Badrul Hisham berkata ahli keluarga hanya mengesyaki penyakit arwah selepas melihat keadaannya yang semakin lemah setiap kali beliau pulang ke rumah keluarga, di Kampung Kua, Hulu Terengganu pada hujung minggu.

"Walaupun ibu bapa kami telah lama meninggal dunia, arwah yang bekerja di sebuah syarikat minyak di Kertih tetap akan pulang ke kampung untuk berjumpa adik-beradik pada hujung minggu.

"Jadi kami memang dapat kesan perubahan keadaan fizikalnya yang semakin lama semakin lemah, tetapi jika ditanya beliau tetap menafikan kerana tidak mahu membebankan keluarga," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Faedah Pengurusan Jenazah oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumah keluarganya di Kampung Kua di sini semalam.

Sumbangan disampaikan Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Allahyarham Syamiru Aiman pernah menyarung jersi THT pada 2013 sehingga 2016 sebagai tonggak tengah, selain pernah menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2014 dan Piala Razak tahun lalu.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata arwah adiknya telah dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas tidak sedarkan kira-kira tiga minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di hospital berkenaan pada Ahad (12 Januari).

"Saya serta adik-beradik lain sepakat untuk menggunakan wang sumbangan Perkeso sebanyak RM2,000 ini sebagai upah haji untuk arwah.

"Kehilangan arwah sememangnya sangat dirasai kerana dia adik yang sangat baik. Lebih-lebih lagi apabila melihat trofi serta pingat miliknya yang banyak disimpan di rumah,” katanya.-Bernama