Pembocor rahsia 'Pentagon Papers' Daniel Ellsberg meninggal dunia

Daniel Ellsberg meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat kanser pankreas. - Foto fail Reuters
Daniel Ellsberg meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat kanser pankreas. - Foto fail Reuters
A
A
A

CALIFORNIA - Daniel Ellsberg, bekas penganalisis tentera Amerika Syarikat (AS) yang telah membocorkan rahsia besar kerajaan negara itu iaitu 'Pentagon Papers' meninggal dunia pada usia 92 tahun.

Mendiang Ellsberg yang mendedahkan penipuan pemerintah mengenai perang AS di Vietnam dan juga penentang senjata nuklear menghembuskan nafas terakhir akibat kanser pankreas di kediamannya di Kensington, di sini, pada Jumaat, kata keluarganya.

Ellsberg yang pernah berkhidmat sebagai penganalisis isu-isu keamanan nasional untuk Pentagon dan RAND Corporation iaitu sebuah pusat pemikir dasar yang terkenal, sebelum berubah menjadi kecewa dengan penglibatan AS dalam perang di Vietnam.

Kekecewaan beliau itu mendorong mendiang membocorkan ribuan halaman dokumen yang mengungkap kebohongan pemerintah tentang perang tersebut kepada media pada tahun 1971.

Tindakan Ellsberg mencetuskan konflik kebebasan bersuara sehingga beliau diheret ke Mahkamah Agung AS.

Kurang dua minggu selepas dokumen-dokumen tersebut diterbitkan, mahkamah memutuskan media memiliki hak untuk menerbitkan pendedahan yang dilakukan oleh Ellsberg.

Keputusan yang dibuat mahkamah itu juga sekali gus merekodkan kemenangan terhadap usaha mendedahkan kepincangan pemerintah berhubung isu-isu seperti keamanan nasional.

Ellsberg dalam laporan di 7,000 halaman muka surat itu mendedahkan bagaimana Presiden AS ketika itu Lyndon Johnson telah menipu kepada semua pihak secara sistematik berhubung kepentingan kerajaan mengenai perang itu.

Mendiang mendedahkan maklumat itu kepada akhbar The Washington Post, The New York Times dan banyak media lain

Sehubungan itu, pada Januari 1973, kerajaan AS mendakwa Ellsberg mencuri dan melakukan konspirasi di bawah Akta Spionase dengan hukuman maksimum 115 tahun penjara. - Awani/Agensi