Tengku Zafrul gagal failkan afidavit tahanan rumah Najib

Tengku Zafrul. Foto Bernama
Tengku Zafrul. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz gagal untuk memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, bagi membetulkan fakta yang didakwa tidak tepat, berhubung Titah Adendum berhubung kes pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian semasa pendengaran permohonan kebenaran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ini untuk memfailkan afidavit untui membetulkan kesilapan fakta dalam afidavit dikemukakan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia berhubung dakwaan Presiden UMNO itu, bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari lalu, supaya Najib, 71, menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, mengesahkan demikian ketika ditemui selepas prosiding pada Khamis.

Laporan Sinar Harian pada April lalu. Tengku Zafrul (kanan).
Laporan Sinar Harian pada April lalu. Tengku Zafrul (kanan).

Beliau berkata, hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan pihaknya terhadap permohonan dibuat menteri terbabit.

“Tengku Zafrul tidak mewakili mana-mana pihak dan afidavit yang ingin difailkan itu seolah-olah ‘terapung’,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding yang dijalankan secara dalam kamar, selesai.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, mahkamah menolak permohonan itu kerana permohonan Najib ketika ini adalah sebelah pihak atau ‘ex-parte’.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiada peruntukan undang-undang untuk Tengku Zafrul memasukkan afidavitnya ketika ini.

Beliau berkata, pemimpin UMNO itu boleh memasukkan semula afidavit jika mahkamah membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Najib.

Hadir sama dalam prosiding ini ialah peguam, Datuk Sunil Abraham bagi pihak Tengku Zafrul.

Pada 22 Ogos 2022 lalu, buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, Najib menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Susulan itu, Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini, untuk mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya dia menjalani baki hukuman penjara enam tahun di tahanan rumah.

Pada 9 April lalu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah tersebut.

Beliau mendakwa telah dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Tengku Zafrul pada 30 Januari lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!