PRK KKB: Ahmad Zahid yakin ahli UMNO sokong calon Kerajaan Perpaduan

Ahmad Zahid. Foto Bernama
Ahmad Zahid. Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin ahli parti itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu, 11 Mei ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO telah melakukan beberapa siri penjelasan kepada ahli dan penyokong parti di peringkat akar umbi mengenai beberapa isu yang dimainkan pembangkang.

"...beberapa siri penjelasan akar umbi telah dilakukan, maka perkara agak kabur pada satu ketika itu telah mula ada pencerahan.

"Jentera parti dari seluruh Selangor dan negeri lain juga membantu berikan pencerahan bagi isu dimainkan oleh pembangkang," katanya kepada pemberita di Perkarangan Kompleks UMNO Jelebu Simpang Pertang.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pembangkang bahawa kerjasama di antara UMNO dan DAP ditolak orang ramai termasuk dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis sambutan Hari Raya Parlimen Jelebu yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mengulas tindakan segelintir penyokong Perikatan Nasional (PN) mengabungkan logo UMNO dan DAP ketika hari penamaan calon PRK DUN itu, Ahmad Zahid menyifatkan pembangkang sudah ketandusan modal.

"Ini bukan pertama kali, mereka melakukan taktik dipanggil 'UMDAP' ini, pilihan raya enam negeri yang lepas juga turut dimainkan isu yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Saya pasti banyak isu lama akan diputar semula bagi PRK Kuala Kubu Baharu ini kerana mereka telah ketandusan modal dan gunakan modal lama untuk hentam UMNO," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!